Mengapa Brentford Tiba-Tiba Boleh Berminat Dengan Dion Cools?

Sejak seminggu yang lalu timbul khabar angin menyatakan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Brentford berminat untuk mendapatkan khidmat pemain pertahanan skuad Harimau Malaya, Dion Cools.

Kemungkinan perpindahan tersebut dianggap sebagai khabar angin, namun ia tetap dilaporkan oleh beberapa portal utama bola sepak di dalam negara.

Sekiranya benar perkhabaran tersebut, maka Malaysia bakal memiliki pemain pertama beraksi di EPL – saingan liga yang dianggap antara paling mencabar di dunia.

Thailand pernah menyaksikan beberapa nama menyertai pasukan seperti Manchester City dan Leicester City. Filipina pula pernah menyaksikan penampilan penjaga gol, Neil Etheridge ketika bersama Cardiff.

Thanawat Suengchitthawon pula sekadar tampil sebagai pemain simpanan untuk Leicester dalam perlawanan menentang Manchester City pada musim 2020/21, tetapi tidak diturunkan beraksi oleh Brendan Rodgers.

Persoalannya, mengapakah Bretford tiba-tiba menanam minat untuk mendapatkan khidmat Cools.

Perjalanan karier Dion Cools

Karier awal Dion Cools di bola sepak Eropah bermula bersama akademi bola sepak Anderlecht dan OH Leuven.

Pernah dianggap sebagai antara pemain berbakat di Belgium, Cools adalah antara tunjang utama skuad antarabangsa peringkat umur Belgium, dan sempat melakukan 18 penampilan bersama pasukan B-21 negara itu.

Pada 2015 prestasi Cools menarik perhatian Club Brugge yang meminangnya dari OH Leuven. Di sinilah karier profesional Cools di bola sepak eropah bermula.

Setelah menyerlah bersama Club Brugge di pertandingan elit eropah seperti UEFA Champions League (UCL) dan UEFA Europa League (UEL), Cools dipinang raksasa Denmark, FC Midtjylland pada Januari 2020.

Konsep ‘Monney Ball’

FC Midtjylland merupakan antara kelab utama Denmark yang juga konsisten melakukan penampilan di pentas Eropah. Kelab itu dikenali sebagai sebuah kelab yang bijak merekrut pemain – sesuai dengan DNA dan falsafah bola sepak yang mereka percaya.

FC Midtjylland menggunakan konsep ‘Money Ball’ dalam merekrut pemain. Ia adalah konsep merekrut pemain  berdasarkan data  dan statistik.

Dengan kata lain, Dion Cools berhijrah ke Denmark kerana FC Midtjylland percaya dengan statistik yang dihasilkan Cool ketika beraksi bersama Club Brugge.

Karier Coold di Denmark

Cools beraksi di Denmark selama tiga musim. Musim 2020/21 adalah antara musim terbaik Cools bersama FC Midtjylland apabila beliau melakukan 21 penampilan liga – 17 daripadanya sebagai pemain kesebelasan utama.

Tarikh 14 Februari 2021 pasti menjadi antara yang paling diingati oleh pemain ini kerana berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk FC Midtjylland menewaskan Horsens 1-0. Musim tersebut, FC Midtjylland menamatkan musim sebagai naib juara Danish Superliga, dan muncul juara Piala Danish.

Catatan dan pengalaman terhebat Dion Cools bersama FC Midtjylland pada musim tersebut juga tiba di pentas eropah apabila berhadapan dengan Liverpool di saingan peringkat kumpulan UCL.

Cools tidak beraksi di perlawanan pertama peringkat kumpulan menentang Liverpool, menyaksikan kelab Denmark itu tewas 2-0 di Anfield.

Beliau bagaimana pun beraksi cemerlang selama 90 minit di dalam perlawanan kedua di halaman sendiri sehingga berjaya membantu FC Midtjylland mengikat Liverpool 1-1.

Walaupun Mohamed Salah berjaya mencetak gol dalam perlawanan tersebut, secara keseluruhan Dion Cools beraksi dengan cemerlang berhadapan barisan serangan Liverpool yang dianggap antara pemain terbaik di dunia.

Bakal sertai Brentford?

Brentford adalah kelab EPL yang turut dimiliki oleh Matthew Benham. Ini bermakna kedua-dua kelab menggunakan kaedah yang sama ketika merekrut pemain – berdasarkan data, statistik dan analisis.

Musim lalu Cools dipinjamkan kepada Zulte Waregem di Jupiter Pro League Belgium untuk mendapatkan lebih banyak minit perlawanan.

Tetapi pemain ini dijangka akan kembali ke Denmark untuk saingan musim hadapan kerana masih memiliki kontrak bersama FC Midtjylland sehingga Jun 2023.

Adakah Cools bakal mendapatkan tempatnya di dalam kesebelasan utama FC Midtjylland selepas ini?

Sukar untuk membayangkan Cools kembali bersaing dengan pemain seperti Eric Joel Anderson (pemain antarabangsa Sweden) atau Henrik Dalsgaard (pemain antarabangsa Denmark) di posisi sama pada musim hadapan.

Maka apakah perkara seterusnya untuk Cools? Tidak seperti FC Midtjylland, Brentford pula tidak beraksi di Eropah dan sasaran realistik kelab itu adalah untuk terus kekal di EPL pada musim hadapan.

Idea Dion Cools bakal menyertai Brentford mungkin sekadar khabar angin/khabar lama yang kembali bertiup kerana keterujaan penyokong terhadap pemain itu membantu pasukan negara layak ke Piala Asia 2023.

Tetapi kemungkinan itu tidak mustahil untuk berlaku mengambil kira Cools memerlukan minit perlawanan dan Brentford turut memerlukan seorang back-up player untuk Kristoffer Vassbakk Ajer di posisi bek kanan pada musim hadapan.

Faktor pemain itu tidak memerlukan permit kerja kerana berpengkalan di Eropah selama ini turut memungkinkan perkara tersebut.

Jika Cools menyertai Brentford, maka beliau bukan satu-satunya pemain yang telah berhijrah dari FC Midtjlland ke kelab EPL itu di bawah pemiliknya, Matthew Benham.

Sebelum ini, penjaga gol simpanan FC Midtjylland, Jonas Lossi turut melakukan perpindahan serupa selepas kecederaan yang menimpa penjaga gol utama Brentford, David Raya.

Kongsi artikel ini