Untold Story: Kisah Mazlan Wahid Pikat Alan Vest Dan Jadi Legenda Bujang Senang

Mazlan Wahid adalah nama yang amat sinonim dengan mana-mana penyokong bola sepak Sarawak.

Mazlan adalah antara pemain pertama dari Semenanjung Malaysia yang menabur bakti bersama skuad Bujang Senang pada era Alan Vest.

Malah kehadiran Mazlan sebenarnya lebih awal daripada dua lagi pemain, iaitu Shamsurin Abdul Rahman (penyerang) dan Ong Kim Swee (pemain sayap), yang didatangkan setahun selepas Mazlan.

Era Alan Vest

1990an dianggap sebagai era kegemilangan bola sepak Sarawak. Era tersebut turut sinonim dengan jurulatih import kelahiran Inggeris warganegara Australia, Alan Vest.

Ketibaan Vest turut disertai oleh tiga awang import dari Australia iaitu John Hunter, Jeff Currans dan juga pemain pertahanan tinggi lampai, David Evans.

Namun sumbangan Mazlan, Shamsurin dan Kim Swee turut dilihat setaraf dengan tiga pemain import tersebut pada ketika itu, walaupun Kim Swee memilih untuk ke Sabah selepas semusim bersama Sarawak.

Bermula era 90-an di bawah kendalian Alan Vest, bermula tahun 1991, kita bermula dengan langkah yang gagah dari divisyen…

Posted by Sarawak Football Gallery on Wednesday, April 17, 2013

Sumbangan ketiga-tiga pemain dari semenanjung ini turut membuka lebih banyak pintu untuk pemain lain dari Semenanjung mencuba nasib bersama Sarawak pada tahun-tahun berikutnya.

Namun tidak ada di kalangan mereka yang memenangi paling banyak kejuaraan sepertimana Mazlan Wahid yang bersama Sarawak sejak pada permulaan kebangkitan bola sepak negeri itu pada awal 1990 an.

Tidak ramai juga mengetahui bagaimana Alan Vest boleh memancing Mazlan untuk menyertai Sarawak pada 1992.

Jika ada perkongsian sebelum ini, rata-rata akan berkata tawaran hanya diterima oleh Mazlan ketika penjaga gol itu beraksi di kejohanan Piala Emas Raja-Raja bersama Melaka.

Baru-baru ini bekas pegawai Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Abang Zulkarnain berkongsi kisah tersebut.

Mazlan kecewakan Sarawak

Segala-galanya bermula pada musim 1991 apabila Mazlan Wahid dan Melaka mengecewakan Sarawak sebanyak dua kali dalam dua pertemuan membabitkan kedua-dua pasukan.

Pertemuan pertama diantara Melaka dan Sarawak adalah perlawanan Liga Divisyen 2, yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuching.

Skuad kendalian Soh Chin Aun turut berhadapan Sarawak beberapa hari kemudian untuk perlawanan Piala FA di venue yang sama.

Legenda Bolasepak Sarawak – Affendi Jol (Penjaga Gol)

Posted by Sarawak Football Gallery on Friday, May 18, 2012

Malangnya buat Chin Aun dan Melaka pada ketika itu, mereka terpaksa menurunkan penjaga gol kedua pasukan akibat kecederaan yang menimpa Rashid Mohamad.

Penjaga gol kedua yang dimaksudkan adalah Mazlan Wahid yang berusia sekitar 26 tahun pada ketika itu.

Walaupun Sarawak merekodkan kemenangan dalam kedua-dua perlawanan, prestasi bahagian pertahanan Melaka khususnya dari Mazlan Wahid mencuri tumpuan Alan Vest.

Karakter Mazlan curi perhatian Vest

Mazlan boleh dikatakan berjaya mengekang asakan bertali arus pasukan Sarawak dalam dua perlawanan tersebut, dan karakter serta ketenangan penjaga gol itu berjaya mencuri perhatian Vest.

Bagi Vest, karakter memainkan peranan penting bagi seorang pemain bola sepak. Ini kerana kebolehan teknikal boleh digilap, tetapi karakter harus datang dari pemain itu sendiri.

Sarawak 1991

Posted by Sarawak Football Gallery on Friday, April 6, 2012

Pada ketika yang sama, Alan Vest dan Sarawak sememangnya sedang memburu seorang penjaga gol yang berkaliber untuk membentuk pasukan Sarawak.

Vest adalah seorang jurulatih yang mementingkan struktur pertahanan terlebih dahulu, sebelum menguatkan bahagian lain. Kerana itulah Sarawak pada era tersebut amat dikenali dengan bahagian pertahanan yang amat kental.

Satu-satunya penjaga gol yang Sarawak miliki pada musim tersebut pula adalah Affendi Jol. Antara penjaga gol yang turut berada di bawah radar Sarawak pada ketika itu adalah penjaga gol Kuala Lumpur, M. Pavalami yang memilih untuk ke Sabah, selain daripada Mazlan.

Dilema FAS

Abang Zulkarnain adalah pegawai yang diberikan peranan untuk menghubungi Mazlan pada ketika itu. Timbul sedikit kegusaran oleh Abang Zulkarnain mengenai status sebenar Mazlan yang memungkinkan Sarawak tidak boleh memikat penjaga gol tersebut.

“Pada ketika itu, tidak ada sesiapa mengetahui jika pemain itu [Mazlan] masih mempunyai kontrak dengan Melaka. Jika diteruskan dengan sebarang tawaran, maka kami [FAS] boleh dipersalahkan kerana melanggar peraturan FIFA,” ujar beliau melalui perkongsian di Twitter.

Sarawak 1992

Posted by Sarawak Football Gallery on Friday, April 6, 2012

“Mujurlah saya dapat menghubungi Haji Salleh, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Melaka pada ketika itu yang mengesahkan kontrak Mazlan telah tamat.

Dengan bantuan saudara kandungnya yang bertugas di Melaka, Abang Zulkarnain akhirnya berjaya menghubungi Mazlan.

Mazlan tolak tawaran Sarawak

Pertama kali dihubungi oleh FAS, Mazlan seperti teruja dengan idea bermain untuk Sarawak. Malah Mazlan dikatakan terbuka dengan peluang yang ditawarkan oleh FAS untuk beliau beraksi di bawah bimbingan Alan Vest.

Namun beberapa hari kemudian, Mazlan menolak tawaran untuk menyertai Sarawak kerana tunangnya pada ketika itu tidak bersedia dengan idea turut berpindah ke Kuching.

Selepas melakukan rundingan demi rundingan, akhirnya Abang Zulkarnain berjaya meyakinkan Mazlan untuk menyertai Sarawak. Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) pada ketika itu adalah di bawah naungan Presiden nya, Allayarham Datuk Taha Ariffin.

“Beliau [Mazlan] berada di Kota Bharu mewakili Melaka di pertandingan Piala Emas Raja-Raja ketika mengesahkan menerima tawaran dari kami.

“Seluruh kem Sarawak menyambut perkhabaran tersebut dengan gembiranya. Ia dianggap sebagai langak besar oleh Sarawak kerana Mazlan menjadi pemain pertama dari Semenanjung Malaysia menyertai Sarawak.

“Terdapat juga kerisauan di dalam kem Sarawak bahawa langkah tersebut tidak akan disenangi oleh penyokong, tetapi kami tetap teruskan juga dengan tawaran tersebut,” tambah Abang Zulkarnain lagi.

Penutup

Ternyata kerisauan Abang Zulkarnain dan FAS untuk membawa Mazlan untuk saingan musim 1992 memberi pulangan yang menakjubkan untuk bola sepak Sarawak.

Pada musim pertama bersama Sarawak, Mazlan Wahid membantu skuad Bujang Senang merangkul kejuaraan Piala FA. Ia adalah trofi pertama yang dimenangi oleh pasukan Sarawak dalam kancah saingan bola sepak negara.

Pada 1997, Mazlan sekali lagi cemerlang membantu Sarawak meraih kejuaraan Liga Perdana Malaysia, dan juga Piala Sumbangsih pada musim berikutnya.

Prestasi baik Mazlan bersama Sarawak membuatkan beliau mendapat panggilan untuk menyerai skuad negara bagi menghadapi saingan Sukan Asia 1994 di Hiroshima, Jepun bersama-sama Khairul Azman Muhammad.

Pada tahun 1994 juga menyaksikan Mazlan telah mendapat pengiktirafan sebagai pemenang ‘Anugerah Sarung Tangan Emas’ dari Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).

Mazlan Wahid dan Sarawak turut mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada 1999, namun dikecewakan oleh Brunei di perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Merdeka.

Mazlan beraksi bersama Sarawak selama sembilan musim, sebelum berhijrah ke Kedah pada musim 2002.

 

 

Kongsi artikel ini