‘Matahari Bukan Sahaja Terbit, Ia Juga Terbenam Ketika Senja’ – JDT Miliki Segala Motivasi Untuk Benam Kawasaki Frontale

Ada sebab mengapa pasukan lain harus iri hati dengan pencapaian JDT di saingan AFC Champions League pada musim ini.

Pertama, JDT telah membuktikan pasukan dari Malaysia juga mampu bersaing di pentas tertinnggi kelab-kelab elit Asia.

Kedua, pentas ACL telah menjadi medan pasukan dari selatan tanah air itu mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit hasil penyertaan dan kejayaan yang dicapai setakat ini.

Sebuah proses

Tidak ada sesiapa mengatakan apa yang dicapai oleh JDT pada hari ini mudah. Kejayaan tidak akan datang bergolek begitu sahaja, atau turun dari langit seperti hujan.

JDT mulai beraksi di pentas Asia pada 2015 di pertandingan Piala AFC dan menjuarai pertandingan tersebut. Mereka tidak lagi menoleh ke belakang selepas itu.

Dan semuanya itu adalah satu proses, dan sepanjang perjalanan yang telah dilalui oleh kelab itu sejak 2015 telah menunjukkan bibit-bibit hasil peningkatan dan kerja keras selama ini.

Ini menjelaskan reaksi kegembiraan Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) selaku pemilik kelab.

JDT menewaskan Kashima Antlers pada ACL 2019 (juara bertahan), sebelum membelasah juara dua kali (2013 & 2015) Guangzhou FC pada musim ini.

Tidak cukup dengan itu, Ulsan Hyundai (juara 2013 dan 2020) turut menjadi mangsa. Dan malam ini JDT sekali lagi berpeluang melakar satu lagi sejarah apabila berhadapan juara Jepun, Kawasaki Frontale.

Nasib sememangnya diperlukan di dalam bola sepak. Untuk memiliki ‘nasib’ secara bersiri seperti yang dilakukan JDT, ia memerlukan impian yang besar.

Sudah ada gendang dipalu oleh penyokong Jepun yang menyatakan kemenangan menentang Ulsan Hyundai tidak akan berulang.

Namun mereka mungkin lupa matahari tidak hanya terbit, tetapi ia juga terbenam.

Hasil lumayan

JDT tidak perlu mencari motivasi dari luar untuk membenarkan mereka mencipta kejutan demi kejutan. Tidak ada motivasi lain yang lebih besar melainkan faktor kewangan.

Selepas menewaskan Guangzhou FC dan Ulsan Hyundai di dalam aksi peringkat kumpulan AFC Champions League, JDT sudah berjaya meraih hadiah kemenangan sebanyak USD100,000 (RM427,900) – USD50,000 setiap kemenangan di peringkat kumpulan.

Ini tidak termasuk subsidi perjalanan yang layak diterima setiap pasukan yang bertanding di peringkat kumpulan sebanyak USD60,000 setiap perlawanan.

Secara keseluruhan JDT dijamin akan menerima USD360,000 (enam perlawanan peringkat kumpulan) – walaupun tewas semua perlawanan Kumpulan I.

Sudah pun menang dua perlawanan, ini bermakna JDT akan menerima USD460,000 (RM1.9 juta) – di dalam tangan.

Kita harapkan JDT mampu mengumpul lebih banyak mata dan mara sekurang-kurangnya sehingga pusingan kalah mati.

Ini bermakna JDT akan meraih lebih banyak hadiah kemenangan – sesuai dengan sejauh mana kemaraan yang mampu dicapai anak buah Benjamin Mora.

Secara matematik, semakin jauh sesebuah pasukan itu mampu mara di dalam pertandingan ini, maka semakin banyaklah hadiah wang kemenangan mampu diraih oleh kelab.

Juara dan naib juara pada musim ini pula akan menerima hadiah kemenangan USD4 juta (RM17.11 juta) dan USD2 juta (RM8.55 juta) masing-masing.

Kesimpulan

Penyokong Kawasaki Frontale boleh berkata apa sahaja sebelum perlawanan. Hakikatnya bola itu bulat, dan setiap pasukan perlu meraih 90 minit perlawanan.

Seperti JDT, faktor kewangan juga boleh menjadi pendorong utama Kawasaki menewaskan JDT pada malam ini.

Tetapi seperti dikatakan tadi, matahari tidak sentiasa terbit. Ia juga terbenam ketika senja. Barisan kesebelasan JDT yang diturunkan pada malam ini sudah pun memiliki motivasi lebih besar daripada faktor kewangan untuk membenam lawan pada malam ini.

 

Kongsi artikel ini