Masih Belum Pulang Ke Eropah, Dion Cools Sebenarnya Bakal Diikat JDT?

Khabar angin mengaitkan Dion Cools bakal menyertai JDT bukanlah perkara baharu. Malah sebelum ini pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan pihaknya sudah lama merancang untuk membawa masuk pemain kacukan Malaysia-Belgium, Dion Johan Cools.

Dalam satu sesi soal jawan di laman Instagram Story miliknya pada tahun lalu, TMJ telah mengesahkan perancangan untuk membawa masuk Dion Cools sudah lama ada, tetapi ia terpulang kepada pemain itu sama ada untuk menerima atau sebaliknya.

“Dion Cools berada di tahap yang lain dan beliau merupakan pemain yang bagus. Perancangan untuk bawa [Dion Cools] ke JDT sudah lama tetapi terpulang kepada pemain itu.

“Buat masa ini beliau masih muda dan lebih baik beraksi di peringkat tertinggi Eropah selama yang beliau mahu,” kata TMJ pada ketika itu.

Masanya telah tiba

Adakah kini tiba masanya untuk Cools melupakan kariernya di Eropah dan memberikan perhatian kepada tawaran yang pernah diberikan oleh TMJ untuk menyertai JDT?

Ini bukanlah perkara yang mustahil untuk berlaku di dalam tempoh seminggu ini – sebelum jendela perpindahan kedua Liga Malaysia ditutup pada penghujung bulan ini.

Hakikat pemain itu masih lagi berada di Malaysia bersama isteri dan anaknya, dan tidak terus pulang ke Eropah selepas selesai tugasan bersama pasukan negara di pusingan kelayakan Piala Asia 2023 yang lalu membuatkan spekulasi itu semakin kencang.

Melalui perkongsian terkini di Instagram, Dion Cools dan keluarganya kini berada di Langkawi untuk bercuti.

Kemungkinan pemain itu bakal ke selatan tanah air untuk melengkapkan perpindahan ke JDT selepas percutian tersebut tidak boleh dinafikan buat masa ini.

Tunjang skuad Harimau Malaya

Tidak dinafikan Dion Cools kini dianggap sebagai salah seorang pemain penting skuad Harimau Malaya kendalian jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon.

Sekiranya menyertai JDT, ia membenarkan Cools untuk memberikan lebih banyak fokus kepada pasukan negara yang akan bertanding di pusingan akhir Piala Asia pada tahun hadapan.

Menyertai JDT bermakna Cools juga akan mendapat lebih banyak minit permainan berbanding jika terus kekal bersama kelabnya, FC Midtjylland di Danish Superliga.

Minit perlawanan harus menjadi keutamaan buat Cools untuk mempertajamkan permainannya ketika tugasan bersama Harimau Malaya.

Sejak menyertai FC Midtjylland pada 2020, Cools hanya sempat melakukan 38 penampilan liga bersama pasukan tersebut – kebanyakkannya sebagai pemain gantian.

Pemain kacukan Belgium-Malaysia itu kemudiannya terpaksa berhijrah secara pinjaman ke Zulte Waregem di untuk mendapatkan lebih banyak minit perlawanan, namun tetap sukar mendapatkan tempat di dalam kesebelasan utama pasukan walaupun tampil 11 kali untuk kelab Belgium itu.

Baru-baru ini, JDT turut mengumumkan bakal mendapatkan dua pemain tempatan untuk menyertai JDT pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia.

Khabar angin menyatakan Junior Edstal bakal kembali memperkuatkan skuad Harimau Selatan selepas beberapa musim bersama Chonburi FC di Liga Thailand.

Adakah Dion Cools merupakan pemain kedua yang dimaksudkan bakal menyertai JDT?

Kongsi artikel ini