Masalah Kesihatan B.Sathianathan Letak Jawatan Balachandran Ketua Jurulatih Baharu Sarawak United

S.Balachandran mengisi kekosongan yang telah ditinggalkan oleh B.Sathianathan sebagai ketua jurulatih Sarawak United (SUFC) serta merta setelah jurulatih berpengalaman itu terpaksa mengundur diri berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya baru-baru ini.

Balachandran merupakan penolong jurulatih Tan Cheng Hoe ketika di dalam skuad senior kebangsaan yang juga merupakan watak penting ketika Harimau Malaya cemerlang di pentas antarabangsa ketika itu.

Tan

Sebelum itu B.Sathianathan yang dihubungi Arena Metro , menjelaskan beliau terpaksa memutuskan untuk berehat dari lapangan padang atas nasihat pegawai perubatan yang merawatnya.

“Ya betul saya ada masalah kesihatan. Tapi tidak seteruk mana, cuma doktor nasihatkan supaya saya berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.

“Walaupun disarankan untuk berehat, saya tidak boleh melupakan terus dunia bola sepak dan sedia memikul tangungjawab lain.

“Kalau boleh dilantik sebagai TD (Pengarah Teknikal) Sarawak United pun ok, tapi saya kena bincang dengan pengurusan,” katanya yang enggan berkongsi mengenai penyakitnya itu.

Tanggungjawab jurulatih diserahkan kepada pembantu jurulatih SUFC , Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah sebelum sepak mula disambung semula pada minggu ini.

Pengurusan tertinggi Sarawak United FC telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pengunduran B.Sathianathan di dalam media sosial rasmi kelab mereka.

Balachandran juga turut menjelaskan dia telah bercakap dengan Sathianathan dan menurutnya beliau akan kembali semula.

Antara pencapaian terbaik Balachandran ialah membawa skuad Malaysia bawah 16 tahun (B-16) layak ke suku akhir kejohanan AFC B-16 pada tahun 2014.

Sarawak United FC baru sahaja diratah oleh Selangor FC 7-0 pada malam tadi ternyata ia merupakan satu kekecewaan khususnya kepada penyokong kelab berkenaan.

“Saya faham situasi sukar semalam. Pembantu jurulatih Ahmad Nurfaizal  terpaksa mengambil tugas sementara pada perlawanan tersebut. Kita tak boleh nak harapkan terlalu tinggi.

“Jadi selepas ini kita dah ada coah Bala, dan harapnya semuanya kembali berjalan lancar,” ulas Datuk Posa Majais sewaktu ditanya mengenai kekalahan besar yang dihadapi oleh Sarawak United FC.

 

Kongsi artikel ini