Martin Braithwaite Beri Amaran Mampu Singkirkan Luis Suarez

Martin Braithwaite mendakwa tidak ada pemain lain yang mampu menewaskan dirinya dari segi kelebihan fizikal saat ini di Barcelona.

Adakah ini bermakna kenyataan meyakinkan oleh Braithwaite kini menjadi ancaman untuk pemain seperti Luis Suarez?

Barcelona mengikat Braithwaite pada 20 Februari 2020 – atas dasar perpindahan disebabkan kecemasan.

Di Sepanyol, perpindahan di luar jendela sebenar dibenarkan sekiranya kelab mengalami krisis kecederaan pada posisi tertentu, dan perpindahan harus melibatkan sesama kelab Sepanyol sendiri.

Kecederaan jangka masa panjang yang dihadapi oleh Luis Suarez dan Ousmane Dembele pada ketika itu memaksa Barcelona merekrut Braithwaite.

Sebelum La Liga diberhentikan akibat penularan wabak global tempoh hari, Braithwaite sudah beraksi dua kali sebagai pemain gantian, dan tampil sebagai pemain kesebelasan utama dalam perlawanan berikutnya.

Kelab-kelab La Liga kini sudah kembali ke pusat latihan masing-masing. Dan menjelang sepak mula kembali La Liga, Braithwaite mengakui sudah melatih fizikal dan kecergasan dirinya sebaik mungkin demi memperkuatkan Barcelona.

“Tidak ada seorang pun pemain yang bekerja sekeras atau berlatih sekeras yang saya lakukan. Secara fizikal tidak ada yang mampu mengalahkan saya,” kata Braithwaite kepada Marca.

Penangguhan saingan sejak Mac lalu turut memberikan ruang untuk Luis Suarez pulih dari kecederaan lutut yang dialaminya. Pemain antarabangsa Uruguay itu juga dilaporkan kini sudah mulai berlatih bersama rakan sepasukan yang lain.

Sepanjang musim ini, Suarez telah meledak 11 gol dan menghasilkan 7 assist di La Liga.

Berdasarkan keyakinan Braithwaite, penyerang berusia 33 tahun itu harus kembali secepat mungkin membuktikan kualiti dirinya sebelum beliau disingkirkan oleh Braithwaite.

 

Kongsi artikel ini