Marcus Rashford : Budak Baik Manchester United Yang Patut Dicontohi Oleh Budak Kelab Lain

Penyerang Manchester United Marcus Rashford telah menerima penghormatan khas daripada Federation Internationale Football Association (FIFA) sebagai penerima Anugerah FIFA Foundation Award yang pertama kali diadakan sempena Majlis Anugerah Pemain Terbaik Dunia anjuran badan organisasi antarabangsa yang meraikan pemain-pemain bolasepak seluruh dunia pada setiap tahun.

Pemain muda yang baru sahaja berusia 23 tahun itu menerima anugerah khas berkenaan kerana atas sikap keprihatinan beliau yang amat tinggi membantu golongan yang tidak bernasib baik semasa melalui kehidupan yang getir di saat pandemik COVID-19 yang mula menyerang di pelusuk seluruh dunia.

Semasa kerajaan United Kingdom mula mengambi langkah mencegah penularan wabak yang telah menyebabkan kematian berjuta umat setakat ini dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP ) atau lockdown , orang ramai terpaksa duduk di rumah sahaja dan berbulan lamanya. Ini menyebabkan mereka telah kehilangan pekerjaan dan seterusnya menjejaskan pendapatan untuk mencari sesuap makanan terutama golongan miskin di negara itu.

Bagaimanapun Marcus Rashford tidak berdiam diri walaupun terpaksa berada di rumah sambil menjaga kecergasannya. Beliau telah menyedari bahawa di luar sana ada sebahagian daripada masyarakat yang memerlukan bantuan khususnya keperluan makanan dan mengambil keputusan untuk membantu komuniti yang telah terjejas sehingga tiada makanan untuk kelangsungan hidup sendiri dan keluarga.

Sikap keprihatinan yang ditonjolkan oleh Marcus Rashford ini adalah disebabkan latarbelakang keluarganya sendiri.

Sejarah Kehidupan Marcus Rashford

Marcus Rashford dilahirkan pada 31 Oktober 1997 di sebuah daerah yang bernama Wythenshawe , sebuah bandar yang mempunyai populasi 45% penduduk penduduk berkulit hitam yang terdiri dari pelbagai etnik minoriti yang berada dalam kemiskinan.

Bapanya bernama Robert Rashford dan ibunya bernama Melanie Rashford berasal daripada Kepulauan Saint Kitts. Marcus Rashford tinggal bersama ibunya Melanie yang turut menjaga lima adik-beradiknya yang lain.

Kakak sulungnya bernama Chantelle manakala abangnya Dwaine , Claire and Dane Rashford.

Selepas berpisah dengan ayahnya Robert Ibunya bekerja sebagai seorang juruwang di sebuah pusat perjudian Landbrokes online. Walau bagaimanapun Mel seorang penganut Kristian yang taat kepada agamanya dan tidak membiarkan anak bawah jagaannya terjebak dengan anasir luar yang negatif.

Dalam satu wawancara Marcos Rashfod bersama ibunya baru-baru ini , ibunya memberitahu kepada wartawan BBC Breakfast , dia melakukan tiga kerja untuk menyara anak-anaknya. Jikalau tidak , dapurnya tidak berasap. Ia memang satu kehidupan yang sukar ketika itu. Dan pada umur Marcus Rashford berusia 11 tahun , dia memohonkan anaknya memasuki Akademi Manchester United untuk melihat impian anaknya menjadi seorang pemain bola sepak tercapai.

Marcos tidak pernah mengeluh mahupun marah apabila makanan tidak disediakan atas meja oleh ibunya kerana dia memahami akan situasi ibunya yang keseorangan mencari duit. Tetapi dia bernasib baik kerana ada rakan sepermainannya sering mengajak ke rumah untuk makan dan minum pada ketika itu.

Sikap Kesedaran Yang Tinggi

Berikutan latarbelakangnya yang jelas pernah mengharungi kesusahan hidup dan kini sebagai seorang pemain kelab gergasi Manchester United yang mempunyai pendapatan jutaan ringgit , Marcus Rashford terus berfikir dan membuat pencarian bagaimanakah harusnya untuk dia membantu komuniti yang berdekatan tempat tinggalnya untuk mendapat makanan secara percuma.

Beliau bernasib baik menjumpai sebuah laman web NGO bernama Fareshare , sebuah pertubuhan yang mencari derma , sumbangan makanan serta sukarelawan daripada orang ramai bagi menyediakan keperluan percuma khasnya kepada kanak-kanak yang tidak dapat makanan berkhasiat apabila sekolah ditutup oleh kerana wabak Covid-19.

Kejayaan Marcus Rashford Menjadi Sumber Inspirasi

Dari situlah Marcus membuat kerja amal bersama Fareshare. Beliau menyumbangkan duit poketnya sendiri bagi tujuan itu. Fareshare amat berbesar hati dengan kebaikan Marcus dan sebagai penghargaan , Marcus Rashford dilantik sebagai duta kepada badan amal kebajikan itu.

Sebagai seorang yang mempunyai status pemain bolasepak terkenal , Marcus melalui laman Twitter rasminya menyebarkan kesedaran kepada masyarakat terhadap kepentingan makanan berkhasiat untuk kanak-kanak dan memohon sumbangan bagi menghadapi krisis yang sedang di hadapi oleh keluarga kanak kanak yang terjejas kerana Covid-19 bermula bulan Mac.

Kempen kesedaran itu menampakkan hasilnya dan ia telah berjaya menarik perhatian orang ramai , kerabat diraja Britain , selebriti , ahli politik termasuklah hypermarket seperti Tesco di UK yang sudi membantu kempen tersebut sehingga setakat ini empat juta makanan dapat diagihkan kepada keluarga yang susah di seluruh UK.

Oleh kerana kesungguhan dan tidak pernah lelah menjayakan kempen kesedaran ini walaupun Marcus sibuk kembali dengan tugasnya di atas padang , beliau telah dianugerahkan Member of British Empire (MBE) oleh kerajaan Britain diatas sumbangannya kepada amal kebajikan.

Seorang pelukis jalanan bernama Akse telah membuat lukisan mural wajah bintang Man. United pada November yang lalu di dinding sebuah Coffee House Cafe in Copson Street, Withington sebagai tanda penghargaan yang tinggi ke atas pemain itu.

Penutup

Kepayahan hidup pada masa yang lalu telah membuatkan Marcus Rashford bersyukur atas apa yang beliau miliki sekarang. Marcus akan meneruskan kerja amal ini kerana dia tidak mahu lagi mendengar kanak-kanak pada tahun 2020 ini kelaparan dan tidak menikmati makanan yang berkhasiat.

Semoga perkara baik yang dilakukan oleh anak muda ini menjadi inspirasi kepada ahli sukan terutama yang masih muda namun telah berjaya dalam bidang sukan , memberikan semula kepada mereka yang menjadi peminat dan penyokong selama ini.

 

Kongsi artikel ini