Pemain kelahiran Republik Congo, Marcel Kalonda sudah menyerahkan dokumen yang diminta oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini untuk mengesahkan latar belakang dan asal usulnya yang dikatakan berasal dari Malaysia.
Perkara itu disahkan oleh FAM sendiri melalui satu laporan di Harian Metro semalam.
Menurut laporan tersebut, seorang lagi pemain yang turut dikatakan mempunyai pertalian dengan negara ini, Harry Edge tidak berbuat demikian selepas memilih untuk meneruskan kariernya di Eropah.
Zesco United defender Marcel Kalonda could end up representing Malaysia after he was connected to having been born in the South East Asian country https://t.co/AtXeU0Fa6w
— ZambianSoccerNet (@ZambiaSoccerNet) April 29, 2020
Serahan dokumen oleh Kalonda disahkan sendiri oleh Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM.
“Daripada dua pemain, hanya seorang iaitu Kalonda saja yang menghantar dokumen kepada kita, manakala Edge meminta untuk terus beraksi di Eropah.
“Tetapi Edge tak kata dia menolak terus, cuma dia nak fokus dahulu dengan kelabnya di Sweden dan akan kembali di masa depan. Kita menyambut baik respon daripada kedua-dua pemain berkenaan yang memberi kerjasama,” jelas Yusoff.
Bagaimanapun Yusoff berkata dokumen yang diberikan oleh Marcel Kalonda belum lagi lengkap. Sehubungan itu, FAM telah memberikan tempoh dua minggu lagi untuk pemain pertahanan tersebut berbuat demikian.
Congolese defender Marcel Kalonda claimed his grandfather was from Malaysia.https://t.co/P1VwrKswW1 pic.twitter.com/dgA98370wa
— Harimau Abroad🐯🇲🇾✈️ (@harimau_abroad) May 1, 2020
“Cuma dokumen yang dia (Kalonda) hantar masih banyak lagi yang perlu lengkapkan. Kita bagi tempoh kepadanya sekurang-kurang dua minggu lagi.
“Tapi dia memang bersemangat nak mewakili negara dan walaupun tak lengkapkan kita akan bagi masa buatnya. Kalau langsung dia tak bagi itu lain cerita, mungkin kita dah tutup peluang,” katanya lagi.
Kalonda kini beraksi dengan kelab Zesco United dalam Liga Zambia dan datuknya dikatakan berasal dari Sabah.
Edge pula didakwa dilahirkan di Melaka dan dia kini beraksi di Sweden bersama Torslanda IK dalam divisyen dua.
Sehingga kini, pasukan negara sudah mempunyai dua pemain naturalisasi iaitu Mohomadou Sumareh dan Liridon Krasniqi – masing-masing kelahiran Gambia dan Kosovo.
Ketua Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe turut memiliki kumpulan pemain yang digelar ‘pemain warisan’ – kerana campuran darah Malaysia – seperti Corbin Ong, Matthew Davies dan Brendan Gan yang merupakan barisan pemain tetap pasukan negara.
Sumber: Harian Metro