Marcel Kalonda: Datuk Saya Dari Malaysia, Tetapi Saya Bukan Dilahirkan Di Sabah

Pemain pertahanan Congo, Marcel Kalonda yang dikaitkan mempunyai darah keturunan Malaysia dan kini sudah berada di bawah radar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya berbicara mengenai asal usulnya.

Dalam perkembangan terbaru yang dikongsikan oleh sebuah media bola sepak di Zambia, pemain pertahanan Zesco United itu berkongsi mengenai asal usul yang berasal dari datuknya, dipercayai berasal dari negara ini.

Pemain itu telah menjadi perbualan hangat di kalangan komuniti bola sepak di dalam negara untuk dipanggil sebagai pemain warisan.

Skuad Harimau Malaya sudah pun mempunyai Mohamodou Sumareh dari Gambia, dan juga Liridon Krasniqi yang dikatakan sudah diberikan lampu hijau oleh FIFA untuk menyarung jersi pasukan negara.

Nama Kalonda mulai menjadi bualan apabila butiran beliau yang berasal dari Sabah seperti yang terkandung di dalam permainan simulasi bola sepak, Football Manager menjadi tular di media sosial.

“Ramai dari Malaysia yang menghubungi saya melalui Instagram dan juga Twitter. Saya sudah beritahu bahawa saua dilahirkan di Kolwezi, tetapi mereka enggan percaya,” kata beliau.

“Saya tidak tahu apa yang patut lakukan.”

“Datuk saya berasal dari Malaysia. Saya pernah berada di sana, tetapi tidak dapat mengingatinya dengan jelas. Saya masih terlalu muda pada ketika itu,” tambah beliau lagi.

“Tidak banyak saya boleh perkatakan sekarang kerana ejen saya menasihatkan saya supaya tidak berkata dengan banyak mengenai perkaraa ini.

“Tetapi [jika ditawarkan] saya bersedia untuk menyertai pasukan kebangsaan [Malaysia].”

Dalam laporan oleh akhbar New Strait Times pada hari ini, FAM mengesahkan telah menghubungi Kalonda untuk tujuan pengesahan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata pengesahan perlu dilakukan terlebih dahulu sebagai bukti untuk memenuhi peraturan yang ditetapkan oleh perundangan negara dan badan bola sepak dunia, FIFA.

Pada masa yang sama FAM juga tidak mahu terburu-buru dalam memburu pemain dari luar sehingga merosakkan peluang bakat sedia ada dalam negara.

Selain daripada Kalonda, seorang lagi pemain yang dikatakan turut berada di bawah radar FAM ialah Harry Edge yang berasal dari New Zealand.

Kongsi artikel ini