Mano Polking Terpaksa Jelaskan Pemilihan Pemain, Mohon Maaf Gagal Bawa Thailand Ke Final King’s Cup 2022

Ketua Jurulatih Thailand, Mano Polking terpaksa memohon maaf dan memberikan penjelasan mengenai pemilihan pemain selepas gagal menewaskan Malaysia, sekali gus gagal melayakkan diri ke perlawanan akhir King’s Cup 2022.

Bagaimnanapun jurulatih berdarah Brazil dan Jerman yang membawa Thailand muncul juara Piala AFF 2020 pada Januari lalu itu yakin barisan anak buahnya telah memberikan yang terbaik di dalam perlawanan tersebut.

Dalam perlawanan pada malam tadi yang berlangsung di Stadium Chiang Mai, skuad Gajah Perang kendalian Mano Polking ketinggalan melalui jaringan Corbin Ong pada minit ke-32 perlawanan.

Usaha Thailand yang melakukan serangan bertali arus untuk memburu gol penyamaan hanya hadir 30 saaat sebelum wisel penamat ditiup apabila pemain pertahanan, Pansa Hemviboon yang berjaya menanduk masuk sepakan percuma Purisai.

Walaupun momentum perlawanan seolah-olah beralih kepada tuan rumah selepas itu, Thailand akhirnya terpaksa akur apabila ditewaskan skuad Harimau Malaya 5-3 melalui penentuan sepakan penalti.

Bercakap di sidang media selepas perlawanan, Mano Polking dipetik sebagai berkata: “Saya memohon maaf kepada semua penyokong.

“Kami beraksi di tempat sendiri di hadapan penyokong yang memberikan sokongan padu selama 90 minit sehingga ke penentuan sepakan penalti.

“Tetapi kami telah berusaha keras dan memberikan sepenuhnya [untuk menang]. Saya yang menentukan pemain mana yang diturunkan beraksi, dan saya mengambil penuh tanggungjawab [terhadap kekalahan].

“Keputusan perlawanan untuk 90 minit adalah adil kerana setiap pemain beraksi dengan baik pada setiap babal. Malaysia beraksi dengan baik pada babak pertama.

“Tetapi pada separuh masa kedua kami tampil lebih baik sebagai sebuah pasukan. Jika kami mampu bermain baik seperti yang ditampilkan pada babak kedua sepanjang 90 minit, keputusan perlawanan mungkin berbeza.”

Jika ada perkara positif yang boleh diambil oleh Thailand daripada perlawanan ini ia semestinya adalah prestasi baik pemain seperti Suphanat Muenta yang merubah arus perlawanan pada separuh masa kedua selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.

Chanatip Songkrasin pula sememangnya pemain penting buat skuad Gajah Putih. Pemain itu bagaimanapun dikeluarkan awal pada babak pertama perlawanan selepas mengalami kecederaan ringan.

Tindakan Polking mengeluarkan terus pemain itu dianggap untuk melingdungi pemain yang berpengkalan di Jepun itu.

“Perlawanan merebut tempat ketiga menentang Trinidad & Tobago, kami akan tampil beraksi dengan sepenuh keupayaan yang ada. Kami harus memberikan yang terbaik untuk mengakhiri kejohanan ini di tempat ketiga demi penyokong yang tidak putus memberikan sokongan.

“Selepas menyaksikan aksi perlawanan di antara Tajikistan menenytang Trinidad, saya simpulkan mereka memiliki kelebihan terutama daripada segi kekuatan fizikal. Mereka juga mampu mencipta banyak peluang untuk menghasilkan jaringan.

“Kami akan terus menganalisis video perlawanan dan merangka taktikal seterusnya untuk perlawanan tersebut,” ujar Polking lagi.

Kongsi artikel ini