Man Utd Perlu Bayar Sanchez Bonus Kesetiaan Sekembalinya Dari Inter

Alexis Sanchez akan menerima bonus berjumlah £1.1 juta apabila beliau kembali ke Old Trafford setelah tempoh pinjaman pemain itu bersama Inter Milan tamat pada Jun nanti.

Tempoh pinjaman pemain tersebut bersama Inter Milan tidak berjalan seperti yang diharapkan.

Sepanjang tempoh semusim beraksi di Serie A, Sanchez hanya beraksi dalam 15 perlawanan dan menjaringkan satu gol.

Baki musim pemain antarabangsa Chile itu di Itali dihabiskan dengan kecederaan.

Menurut Daily Mail, United perlu membayar jumlah yang besar kepada Sanchez sekembalinya pemain itu dari Itali pada musim panas akan datang.

Bayaran tersebut berupa bonus yang terdapat di dalam klausa perpindahan pemain itu dari Arsenal pada 2018.

Pembayaran bonus tersebut pertama kali didedahkan oleh Football Leaks, perlu dilakukan oleh United sekiranya bekas pemain sayap Barcelona itu kekal di Old Trafford selepas dua tahun setengah.

Dan selepas ini, Sanchez masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun, membuatkan United pening bagaimana untuk mengatur masa depan pemain tersebut.

Ole Gunnar Solksjaer sebelum ini mengesahkan pemain berusia 31 tahun itu akan kembali menyertai skuad The Red Devils pada musim panas akan datang setelah saingan musim ini tamat.

Manchester United membayar pemain tersebut £500,000 seminggu, dan berkongsi menjelaskan jumlah tersebut bersama Inter sepanjang tempoh pinjaman.

Solksjaer turut berharap Sanchez mampu menghidupkan kembali kariernya di United.

“Sanchez akan kembali ke United, dan akan membuktikan anda semua salah,” ujar Solksjaer beberapa bulan yang lalu.

 

Kongsi artikel ini