Harry Maguire menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan untuk Manchester United menewaskan Norwich City 2-1 dan mara ke separuh akhir Piala FA.
Pemain pertahanan England itu menjadi pemain pertama yang bertindak balas terhadap bola lolos di hadapan tiang gol, tatkala masa tambahan berbaki hanya dua minit.
Perlawanan tersebut dicemari dengan insiden layangan kad merah yang diterima pemain gantian Norwich, Timm Klose pada babak akhir masa sebenar.
🇳🇬 He just loves to find the net in a Red shirt ❤️ #MUFC @IghaloJude #FACuppic.twitter.com/wiFfufeToX
— Manchester United (@ManUtd) June 27, 2020
Norwich adalah pasukan yang lebih dominan selepas berjaya menyamakan kedudukan dan merupakan pilihan untuk mara ke pusingan seterusnya berdasarkan momentum perlawanan sehingga terjadinya tindakan kurang bijak Klose.
Pemain dari Jerman itu menerima layangan kad merah kerana menjatuhkan Odion Ighalo. Semakan melalui VAR mengesahkan pemain itu telah melakukan kesilapan.
A special moment for our @ToddCantwell_10 🔥
— Norwich City FC (@NorwichCityFC) June 27, 2020
Kedua-dua pasukan sebenarnya menampilkan aksi yang membosankan. Tidak ada gerakan serangan yang mengujakan dihasilkan.
Namun tidak boleh dinafikan jaringan yang dihasilkan adalah berkualiti tinggi.
Gol pertama perlawanan dijaringkan oleh Odion Ighalo yang meneruskan rentetan sentuhan tajam dalam perlawanan merebut piala.
Pemain pinjaman daripada Shanghai Shenhua itu menggunakan bahagian luar kasut but untuk melakukan flick pada minit ke-51 perlawanan.
Gol kedua perlawanan daripada Norwich juga menarik. Todd Cantwell, dianggap pemain terbaik Norwich City pada musim ini melakukan rembatan mengelirukan dari jarak 25 meter untuk menewaskan Sergio Romero.
Selepas cabaran Piala FA ternoktah, Norwich kini akan kembali fokus untuk mengelakkan daripada tersingkir dari saingan Liga Perdana Inggeris.
United pula masih kekal dalam pemburuan kejuaraan berganda termasuk di Liga Europa, dan memburu empat kedudukan teratas untuk beraksi di saingan Champions League pada musim hadapan.