Man United Buru Individu Berkelayakan Urus Kandungan Media Sosial

Manchester United kini sedang mencari individu yang berkelayakan untuk menjawat jawatan ‘Ketua Media Sosial’  – dan terdapat laporan mengatakan kelab tersebut akan membayar gaji berjumlah £100,000 setahun.

Kelab tersebut telah mengiklankan jawatan tersebut di Linked in beberapa hari yang lalu.

Mereka yang berminat untuk mengisi jawatan tersebut hendaklah merupakan individu yang obses dengan cara baru yang kreatif untuk berhubung dengan penyokong.

Anda juga harus merupakan seorang yang menggemari data dan analitikal, serta tersusun untuk melayakkan anda memohon jawatan tersebut.

Sebagai Ketua Media Sosial, anda juga akan bekerja rapat dengan pemain dalam mengatur kandungan dan strategi.

Walaupun jawatan tersebut tidak bermakna anda mengawal aktiviti pemain di media sosial, tetapi ia akan memberi impak secara langsung terhadap setiap muat naik yang dilakukan pemain.

Pada tahun lalu beberapa pemain Manchester United dikritik oleh penyokon dan pundit kerana muat naik yang dilakukan mereka di media sosial.

Jesse Lingard misalnya melakukan muat naik penuh kontroversi ketika sedang menikmati cuti musim panas. Malah pemain tengah United itu berpendapat kariernya bersama kelab sudah berakhir akibat muat naik tersebut.

“Ia adalah satu kesilapan besar untuk melakukan muat naik tersebut,” kata Lingard.

“Saya mempunyai ramai pengikut muda dan saya tidak akan sengaja melakukannya. Ia adalah kesilapan. Saya berniat menghantar video tersebut kepada seorang rakan.

“Ketika menunggu penerbangan untuk pulang, seseorang dari kelab memberikan mesej, ‘padam video tersebut segera.’

“Apabila saya menyedarinya, ia sudah berlaku. Saya rasa kecut. Ia seperti saya telah melakukan kesilapan yang tidak boleh dimaafkan.”

Selain Lingard, Paul Pogba turut sering dikritik kerana muat naik di media sosial yang dilakukannya.

Pada Januari lalu setelah selesai melakukan pembedahan di buku lali, beliau menulis: “Saya tidak pasti sama ada saya OK, atau adakah saya sedang khayal, atau melawan diri, jangan tanya sama ada ia [pembedahan] berjalan lancar, saya tida tahu.”

United kini berada di kedudukan kelima di saingan Liga Perdana Inggeris, dan dipisahkan oleh tiga mata untuk menjadi empat pasuan teratas yang akan melayakkan diri ke Champions League.

 

Kongsi artikel ini