Luqman Hakim Sudah Buat Analisis – “Wan Kuzri Main Ala-Ala Tony Kroos”

Kem skuad B-19 negara semakin hangat dengan persediaan untuk Kejohanan AFC B-19 yang dijadualkan berlangsung pada Disember hadapan di Uzbekistan.

Sehingga kini Ketua Jurulatih, Brad Maloney telah mengadakan dua fasa latihan. 35 pemain telah dipanggil untuk pada fasa pertama latihan.

Fasa kedua menyaksikan 26 daripada pemain tersebut dikekalkan dengan tambahan empat lagi pemain turut dipanggil untuk dinilai sebelum senarai akhir 23 pemain dimumkan selepas sesi latihan Fasa 3 yang dijadualkan pada September hadapan.

Antara nama yang mendapat perhatian peminat dan pemerhati bola sepak tempatan di dalam senarai tersebut sudah pasti adalah penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsuddin dan juga pemain yang berpengkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal.

Luqman bukanlah wajah asing di dalam skuad B-19 dan menyerlah dalam beberapa kejohanan peringkat umur bersama pasukan negara sebelum ini.

Wan Kuzri yang juga merupakan adik kepada Wan Kuzain pula pertama kali mendapat panggilan untuk menyarung jersi pasukan negara.

Tatkala ramai sudah mengetahui kemampuan Luqman, kemampuan Wan Kuzri pula lebih banyak menjadi tanda tanya peminat.

Dan setelah menjalani latihan bersama, dan beberapa analisis, Luqman mempunyai pandangan beliau tersendiri terhadap keupayaan Wan Kuzri.

“Kemahiran dia [Wan Kuzri] ada sangat bagus. Saya dah analisis satu-satu dah. Sebelum dia datang saya pun dah analisis di You Tube,” kata Luqman.

Menjelaskan mengenai keupayaan Wan Kuzri, Luqman beranggapan pemain berpengkalan di Amerika Syarikat itu mempunyai corak permainan yang sama dengan pemain antarabangsa Jerman, dan ia adalah aset penting untuk membantu skuad Maloney di Uzbekistan nanti.

“Saya tengok player ni ada ala-ala Tony Kroos. Saya rasa player ni bagus untuk membantu team B-19.

“Tidak ada masalah. Dia datang sini untuk cari tempat dia, kita di sini untuk maintain dan bagi semangat, dia pun bagi semangat dekat kita.

“Dia push kita, dan kita push dia.”

Kongsi artikel ini