Expand To Show Full Article
Luqman Hakim Masih Milik Selangor II - "Apa Vincent (Tan) Nak Katakan Terpulang Kepada Dia" - Grandstand Kita

Luqman Hakim Masih Milik Selangor II – “Apa Vincent (Tan) Nak Katakan Terpulang Kepada Dia”

Impian penyokong bola sepak negara untuk melihat penyerang sensasi muda negara, Luqman Hakim Shamsuddin untuk beraksi di Eropah mungkin masih jauh.

Sejak beberapa minggu yang lalu, timbul pula tanda tanya mengenai siapakah pemilik mutlak kontrak pemain itu. Selangor FA atau KV Kortrijk.

Luqman sebelum ini dikatakan akan menyertai KV Kortrijk melalui satu sidang media khas yang diadakan di ibu negara pada September tahun lalu lagi.

Namun keadaan semasa menyebabkan Luqman tidak boleh terbang ke luar negara, sebelum dikatakan menyertai Selangor II demi memastikan pemain tersebut dapat mengekalkan kecergasan.

FAS sedia lepas

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar, FAS secara prinsipnya bersetuju untuk melepaskan pemain itu ke Beligium.

Namun menurut Shahril dalam satu laporan oleh Bernama pada hari ini, semuanya terpulang dengan kata putus pemain itu sendiri.

“Antara kelab dengan kelab (KV Kortrijk) saya sahkan FAS secara prinsip telah bersetuju tetapi belum ada apa-apa (dokumen) ditandatangani sebab ia berkait rapat dengan perbincangan antara kelab dan pemain,” ujar Shahril.

“Luqman kena kembali kepada FAS dengan jawapan. Jika beliau setuju dengan terma-terma yang ditetapkan baru semua pihak terlibat akan menandatangani segala dokumen rasmi,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan yang juga pemilik KV Kortrijk mendedahkan Luqman Hakim telah menjadi milik pasukan itu.

Namun perkara tersebut disangkal oleh Shahril yang berkata Luqman Hakim masih milik Selangor II memandangkan FAS belum mengeluarkan surat pelepasan kepada pemain tersebut.

“Apa Vincent nak katakan terpulang kepada dia tetapi belum lagi ada dokumen rasmi yang telah ditandatangani,” tambah Shahril.

“Setahu saya, FAS belum lepaskan Luqman secara rasmi. FAS belum ada keluarkan surat pelepasan selagi Luqman belum kembali kepada kami dengan apa yang beliau persetujui.”

Pilihan Luqman

Dalam laporan berasingan oleh sumber yang sama, Luqman kini dikatakan mempunyai dua pilihan untuk memuktamadkan masa depannya.

Menurut satu sumber kepada Bernama Luqman kini boleh menandatangani kontrak dan menyertai pasukan dalam masa terdekat atau menandatangani kontrak dan berlepas ke Belgium pada jendela perpindahan kedua, iaitu pada Januari hadapan berdasarkan jendela perpindahan di Eropah.

Kedua-dua pilihan tidak akan menjejaskan penyertaan Luqman di dalam Kejohanan AFC B-19 yang akan berlangsung di Uzbekistan pada Disember akan datang.

Namun memilih untuk kekal bersama Selangor II akan memastikan minit perlawanan untuk Luqman dalam baki saingan Liga Malaysia yang dijangka akan disambung selewatnya pada September hadapan, sebelum mempersiapkan diri untuk kejohanan tersebut.

Skuad kendalian Brad Maloney yang bakal diperkuatkan oleh Wan Kuzri Wan Kamal yang berpengkalan di Amerika Syarikar dan Jaami Qureshi yang berpengkalan di Brighton, England mensasarkan untuk layak ke Piala Dunia B-20 yang akan berlangsung di Indonesia pada tahun hadapan.

 

Sumber: Bernama

 

Kongsi artikel ini