Luqman Hakim Mahu Bekal Budu Ke Eropah, Buru Impian Sertai Real Madrid Satu Hari Nanti

Masa depan Luqman Hakim kini menjadi perhatian penyokong bola sepak Malaysia.

Ramai yang tertanya-tanya sama ada beliau akan ke Belgium untuk menerima tawaran KV Kortrijk.

Atau sama ada penyerang skuad B-19 negara itu akan kekal bersama Selangor II demi memudahkan beliau mendapat tempat bersama skuad kendalian Brad Maloney di Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan pada Disember hadapan.

Mengapa Luqman Hakim masih berada di Malaysia?🤔

Posted by Grandstand KITA on Tuesday, June 23, 2020

Impian Luqman

Ketika diwawancara oleh Dunia Bola baru-baru ini, Luqman menekankan ia sememangnya adalah impian beliau untuk beraksi di Eropah pada masa hadapan.

“Impian saya untuk bermain di luar negara. Walau macam mana pun dekat sana, saya kena hadap kerana inilah impian saya, inilah yang saya nak. Jadi saya kena sesuaikan dirilah di sana,” ujar beliau kepada Dunia Bola.

Mengenai cabaran pemain negara yang beraksi di luar negara yang berhadapan dengan pelbagai masalah untuk menyesuaikan diri termasuk home sick, Luqman berkata keluarga adalah kekuatan beliau untuk berbuat demikian.

“Sekarang memang tidak rasa.  Di sana baru rasa. Bagi Luqman mestilah ada rasa rindu semua. Tetapi bagi Luqman, tujuan satu sahaja iaitu untuk tolong family.

“Balik Malaysia kena kecam pulak nanti (sambil berseloroh). Jadi Luqman akan terus kekal di sana.”

Manchester United atau Real Madrid?

Mengenai kelab impian untuk disertai di Eropah, penyokong Manchester United yang menjadikan Cristiano Ronaldo dan Zico sebagai idola ini mahu beraksi untuk Real Madrid satu hari nanti.

Luqman sempat berseloroh akan membawa periuk dan juga budu jika ke Eropah. “Ada rasa sikit-sikit pun okaylah,” kata pemain itu.

Bagi Luqman faktor pemakanan di luar negara sepatutnya tidak menjadi masalah. Malah ketika bersama NFDP sebelum ini, beliau sudah membiasakan diri dengan makanan di tempat orang ketika menyertai pertandingan dan latihan di luar negara.

All the best Luqman!

Turut tidak menafikan sumbangan ibu-bapa terhadap kariernya setakat ini, Luqman juga mengimpikan untuk menggunakan gaji pertamanya beraksi di Eropah untuk menghantar kedua-dua ibu-bapanya untuk menunaikan Umrah.

Setakat ini Luqman belum lagi mengumumkan keputusan rasmi sama ada akan menerima tawaran KV Kortrijk. Walapu apa pun kita doakan yang terbaik buat beliau.

Buat Luqman, semoga impian anda tercapai satu hari nanti.

Kepada pembaca Grandstand KITA, sila SUBSCRIBE kepada Channel DUNIA BOLA di YouTube untuk lebih banyak video-video menarik mengenai bola sepak pada masa hadapan.

Kongsi artikel ini