Luqman Hakim Lantik Ejen Selepas Dilaporkan Turut Tarik Minat Kelab EPL

Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsuddin dilaporkan telah melantik ejen yang berdaftar dengan FIFA untuk memudahkan perjalanan kariernya selepas ini.

Luqman telah menandatangani perjanjian bersama sebuah agensi dikenali sebagai El-EF Sport, sebuah agensi yang mengendalikan karier pemain berpengkalan di London.

Baru-baru ini masa depan Luqman Hakim hangat diperkatakan apabila pemain ini dikatakan mempunyai kontrak bersama Selangor II, walaupun sudah mempunyai perjanjian untuk menyertai KV Kortrijk di Belgium.

Namun Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tidak mempunyai sebarang halangan untuk Luqman menyertai kelab Belgium itu untuk mengembangkan bakat dan kariernya.

Nama Luqman terus menjadi sebutan selepas itu apabila pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) mendedahkan KV Kortrijk sebenarnya tidak pernah menyatakan minat untuk mendapatkan pemain itu.

Apa ni

Posted by Sukan on Friday, 12 June 2020

Sebaliknya  TMJ mencetuskan perdebatan hangat berkaitan perpindahan Luqman ke KV Kortrijk selepas mendakwa perpindahan bekas pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu didalangi ‘modal politik’ dan bukan atas tiket merit ataupun kemampuan pemain berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu.

Namun di sebalik segala ‘keriuhan’ yang melanda, Luqman secara diam turut dikatakan sedang diintai oleh salah sebuah kelab yang bersaing di Liga Inggeris.

Perkara itu dilaporkan oleh Vokcet FC, berikutan ciapan yang dilakukan oleh @pemain_ke-12 di twitter beberapa hari yang lalu.

Menurut Pemain Ke-12, kelab tersebut bukannya Cardiff City. Dan peluang mendapatkan Luqman yang turut pernah tersenarai sebagai salah seorang pemain muda terbaik dunia oleh The Guardian dilihat mampu menaikkan jenama mereka di Asia Tenggara.

Ideanya ialah untuk menandatangani Luqman secara tetap sebelum meminjamkan kembali pemain itu kepada KV Kortrijk selama dua atau tiga tahun untuk mendapatkan minit perlawanan sewajarnya.

Namun demikian, kelab Liga Perdana Inggeris yang dimaksudkan tidak dinamakan.

Kongsi artikel ini