Status sama ada Luqman Hakim akan menyertai KV Kortrijk di saingan Jupiler Pro League kini menjadi tanda tanya.
Sebelum ini Luqman mengesahkan beliau telah dihubungi oleh kelab Belgium itu untuk menyertai latihan.
Malah Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang dikatakan memiliki kontrak pemain tersebut dikatakan bersedia untuk melepaskan pemain muda sensasi negara itu ke Belgium, sekiranya Luqman berniat untuk ke sana.
Namun perkembangan terkini pemain berusia 19 tahun itu kini menjadi tanda tanya dengan peluang beraksi di Kejohanan AFC B-19 yang akan diadakan di Uzbekistan pada penghujung tahun ini turut menjadi taruhan.
Apa nasib penyerang muda negara, Luqman Hakim kini? jadi pergi atau tidak? pic.twitter.com/ZiTymuw4Pf
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) June 23, 2020
Laporan Astro Arena semalam melaporkan Luqman kini sedang mempertimbangkan untuk kekal bersama Selangor II demi memastikan tempat beraksi di Kejohanan AFC B-19 ke Uzbekistan terjamin.
Tiada jaminan tempat untuk Luqman di dalam skuad kendalian Brad Maloney ke Uzbekistan – sama ada secara merit kerana minit perlawanan, mahu pun jika mendapat pelepasan daripada KV Kortrijk untuk kejohanan tersebut.
Timbalan Pengerusi FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang dihubungi oleh Astro Arena berkata setiap sudut karier Luqman harus diambil kira dalam mengambil keputusan.
“Ada beberapa perkara yang kita [FAS] kena perhalusi dan telah diperhalusi. Kini keputusan adalah di tangan Luqman, sama ada [Luqman] betul-betul mahu ke luar negara atau pun tidak.
“Bila kita berbincang dengan Luqman, kita tengok daripada pelbagai sudut. Sudut development dan juga sudut [untuk] negara.
“Kita kena ingat B-19 tahun AFC Cup akan berlangsung tidak lama lagi,” ujar beliau.
Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata kini terpulang kepada Luqman untuk membuat keputusan dan pemain itu dijangka akan mengumumkan pendiriannya seawal esok.
Mengenai kontrak bersama FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar mengesahkan pemain itu mempunyai kontrak sah bersama gergasi Lembah Klang itu.
Namun demikian kontrak berkenaan mempunyai klausa untuk tidak menyekat Luqman menyertai mana-mana kelab di luar negara sekiranya terdapat tawaran dan Luqman sendiri ingin berbuat demikian.
Sebelum ini khabar angin mengaitkan Luqman dengan Newcastle United dan kelab Jerman, Bayern Leverkusen.
Bagaimanapun KV Kortrijk masih menunjukkan minat untuk mendapatkan pemain tersebut yang bersetuju menyertai kelab Eropah itu pada September lalu.
Apa-apa pun kita tunggu pengesahan dari Luqman sendiri.