Expand To Show Full Article
Luciano Figueroa: Legenda Kelahiran Santa Fe, Kini Harimau Selatan Sejati - Grandstand Kita

Luciano Figueroa: Legenda Kelahiran Santa Fe, Kini Harimau Selatan Sejati

JDT pernah memiliki ramai pemain import sejak melalui revolusi di bawah kepimpinan D.Y.A.M Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim pada 2013.

Daripada nama besar seperti Pablo Aimar, sehingga jagoan pada hari ini seperti Diogo Luis Santos, setiap pemain yang datang mencipta nama dengan cara tersendiri.

Namun hanya ada satu nama yang tidak pernah lekang dari bibir dan dekat di hati peminat Sang Harimau Selatan. Kelibatnya juga sentiasa ada bersama sejak dari mulanya. Beliau yang dimaksudkan ialah Luciano Fugueroa.

Latar belakang

Tidak sukar untuk menggambarkan kelibat Luciano Figueroa ketika perlawanan membabitkan kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Berkepala botak, berkemeja putih dan lantang di bahagian teknikal pasukan untuk memberikan arahan – itulah oangnya pada hari ini.

Luciano Gabriel Figueroa Herrera adalah nama sebenar beliau. Lucho adalah nama yang sinonim dengan beliau ketika masih beraksi bersama skuad kebangsaan Argentina satu masa dahulu.

Beliau ilahirkan pada 19 Mei 1981 di Santa Fe, Argentina. Kebetulan atau tidak, Sante Fe juga adalah tempat kelahiran dan wilayah asal kepada salah seorang lagi legenda bola sepak Argentina iaitu Gabriel Batistuta.

Karier profesional Figueroa bermula pada 2001 bersama Rosario Central ketika berusia 21 tahun.

Beliau kemudian membentuk gandingan yang mantap bersama rakan penyerang, Cesar Delgado – menjaringkan 17 gol sepanjang musim Clausura itu, cukup untuk menarik perhatian kelab Eropah.

Batigol Baharu

Eropah adalah impian kepada mana-mana pemain bola sepak yang ingin mengembangkan bakat ke tahap tertinggi. Perkara sama juga diimpikan oleh Figueroa ketika mendapat perhatian daripada Birmingham City pada musim panas tahun yang sama.

Disamakan dengan Gabriel Batistuta, Luciano Figueroa turut mendapat gelaran ‘Batigol baharu’ – gelaran yang disamakan dengan legenda Argentina itu setelah musim cemerlang muncul penjaring terbanyak di Argentina.

Figueroa kemudiannya dipinang oleh Birmingham yang dikendalikan oleh Steve Bruce pada ketika itu dengan nilai £2.5 juta untuk kontrak selama lima tahun.

“Saya sangat teruja dengan prospek untuk beraksi di saingan Liga Perdana Inggeris bersama Birmingam City,” ujar beliau selepas perpindahan beliau ke Birmingam telah disahkan.

Permulaan sukar

Impian Lucho untuk mencipta nama di England tidak menjadi kenyataan seperti yang beliau impikan. Beliau hanya kekal bersama kelab Inggeris tersebut selama lima bulan.

Satu-satunya penampilan Lucho bersama Birmingham ialah sebagai pemain gantian dalam kemenangan 2-0 ke atas Portsmouth pada September 2003.

Antara perkara yang dikatakan menghalang perkembangan Lucho di England pada ketika itu adalaj kerana fizikal beliau yang tidak sesuai dengan bola sepak Inggeris yang agresif.

Perkara tersebut dipercayai turut menjadi faktor mengapa Rangers menarik minat untuk mendapatkan khidmat beliau sebelum ini.

Menariknya, walaupun sukar mendapat tempat di dalam skuad utama Birmingham, Lucho meledak deretan gol bersama pasukan simpanan kelab tersebut. Beliau akhirnya dilepaskan untuk menyertai Cruz Azul di Mexico pada Disember.

Tidak pernah putus asa

Sepertimana yang kita kenali pada hari ini, Luciano Figueroa mempunyai perwatakan keras dan tidak mudah menyerah kalah. Beliau tidak mengenal erti putus asa dan mempunyai ‘winning mentality’ luar biasa untuk mencapai kejayaan.

Kerana itulah ‘bonding’ beliau bersama JDT boleh kekal sehingga ke hari ini. Beliau begitu fokus dan tahu apa yang beliau mahukan di dalam karier.

Selepas menyertai kelab Mexico, Lucho turut berusaha untuk memperbaiki karier beliau di serata kelab-kelab Amerika Selatan dan juga Eropah. Antara kelab yang beliau pernah sertai selepas Cruz Azul adalah River Plate dan Boca Juniors.

Beliau turut pernah kembali ke La Liga untuk beraksi bersama Villareal dan juga Genoa di Itali. Antara kejuaraan yang beliau pernah perolehi ialah kejuaraan Primera Division 2008 Apertura ketika beraksi bersama Boca Juniors.

Kegigihan beliau tidak sia-sia apabila turut mendapat perhatian untuk menyertai skuad kebangsaan Argentina.

La Albiceleste

Tiada rekod mengenai debut sebenar Lucho bersama pasukan negaranya. Bagaimanapun banyak keratan akhbar antarabangsa yang mengisahkan kehebatan beliau di kejohanan Copa America 2004.

Antaranya, dua jaringan pemain ini membantu Argentina menewaskan Uruguay 4-2 di aksi peringkat kumpulan, sebelum beliau turut menyinar di Kejohanan Piala Konfederasi setahun selepas itu.

Dalam kejohanan yang diadakan di Jerman itu, Figueroa menjaringkan hatrik ketika membenam Australia 4-2. Beliau turut menjaringkan satu lagi gol untuk negaranya di peringkat separuh akhir ketika menentang Mexico.

Hanya Adriano dari Brazil tampil menjaringkan lebih banyak gol dari Lucho di kejohanan yang diadakan pada 2005 itu.

Kenangan terindah Luciano Figueroa semestinya ialah ketika membantu skuad Argentina memenangi pingat emas di Sukan Olimpik 2004, di bawah kendalian jurulatih terkenal, Marcelo Bielsa.

Legenda hidup Harimau Selatan

Skuad Harimau Selatan di bawah pimpinan DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) membawa masuk Luciano Figueroa pada musim 2014.

Laporan pada ketika itu berkata ia melibatkan nilai perpindahan sekitar US$1 juta dari Panathinaikos. Kelab dari selatan tanah air itu turut dilaporkan membayar sekitar US$1.5 juta setahun untuk khidmat beliau.

Pelaburan JDT nyata berbaloi. Musim 2014, Lucho menjaringkan 10 gol untuk membantu JDT bergelar juara Liga Super.

Musim berikutnya, adalah musim terbaik Luciano Figueroa bersama JDT. Selain daripada Piala Sumbangsih dan Liga Super, Lucho turut membantu JDT muncul juara Piala AFC.

Malah Lucho turut menyumbangkan lima gol untuk dalam kejohanan tersebut untuk membantu JDT mencipta sejarah tersendiri apabila tampil sebagai pasukan tunggal dari negara ini muncul juara di pertandingan kelab Asia.

Bagaimanapun Lucho memilih untuk bersara sebagai pemain profesional selepas tamat musim 2015, sebelum diumumkan sebagai duta kelab oleh TMJ pada musim 2017.

Beliau pernah mengejutkan ramai apabila kembali beraksi pada musim 2018 bersama JDT, sebelum sekali lagi bersara pada jendela perpindahan kedua musim yang sama.

Pengurus skuad Harimau Selatan

Luciano Figueroa kemudiannya dilantik sebagai pengurus dan ketua jurulatih JDT pada Ogos 2018 – sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan kelab berkenaan. Sebab utama beliau dilantik sebagai pengurus dan ketua jurulatih skuad utama telah menjelaskan kepentingan beliau kepada kelab.

“Figueroa telah dilantik sebagai pengurus dan ketua jurulatih untuk beberapa sebab. Antara sebab-sebabnya ialah impak kehadirannya yang sangat besar di dalam bilik persalinan. Beliau telah terlibat dalam sesi latihan selama lebih setahun dan pengurusan yakin bahawa beliau mempunyai apa yang diperlukan untuk membawa pasukan ini lebih maju ke hadapan.

“Figueroa juga lebih memahami tentang cara kerja di kelab ini dan untuk persiapan saingan Liga Juara-Juara AFC pada tahun 2019, mungkin lebih baik untuk mempunyai individu yang sudah biasa dengan kelab,” ujar kenyataan dari JDT ketika mengulas perlantikan beliau.

Turut ditekankan adalah pengalaman luas Figueroa ketika bersama Argentina dan kelab-kelab utama di Amerika Selatan dan Eropah ketika bergelar pemain.

Dari sudut taktikal, Lucho turut mengetahui apa yang JDT mahukan. Pernah beraksi sebagai pemain, beliau juga memahami falsafah bola sepak dan cara permainan yang dituntut oleh gergasi bola sepak negara itu.

Rumusan

Tidak keterlaluan jika kita katakan Luciano Figueroa adalah legenda hidup berjiwa Harimau Selatan. Kejayaan lalu mengisahkan beliau adalah sebahagian daripada JDT ketika kelab selatan tanah air itu mencipta sejarah muncul juara Piala AFC empat tahun yang lalu.

“Todo lo mejor, Lucho!”

 

Baca juga artikel kami berkaitan JDT:

Mengapa ketibaan pemain seperti Matthew Davies penting untuk JDT pada musim ini? Apa impaknya kepada Harimau Malaya?Ikuti pandangan kami dari Grandstand Kita

Posted by Grandstand Semua on Sunday, February 16, 2020

Korang rasa dah kenal betul dengan Safawi Rasid?😏

Posted by Grandstand KITA on Wednesday, March 18, 2020

Selepas menyertai JDT, bagaimana pemain ini boleh menambahbaik skuad JDT yang sudah kaya dengan pemain tengah berkialiti.Baca kembali artikel versi suntingan kami ini.

Posted by Grandstand Semua on Wednesday, December 25, 2019

Kongsi artikel ini