Liverpool Umpan Guna Lovren Untuk Dapatkan Koulibaly Dari Napoli

Liverpool dilaporkan mahu memancing Kalidou Koulibaly dari Napoli pada jendela musim panas akan datang dan menggunakan Dejan Lovren untuk menurunkan harga yang perlu dibayar untuk pemain tersebut.

Skuad Jurgen Klopp muncul juara Premier League buat kali pertama untuk menamatkan penantian selama 30 tahun selepas pesaing terdekat Manchester City tewas kepada Chelsea pada Khamis lalu.

Walaupun sudah bergelar juara, Liverpool jelas enggan berpeluk tubuh dengan tidak memperkuatkan skuad sedia ada untuk menghadapi saingan pada musim hadapan.

Untuk itu, Klopp dikatakan mensasarkan Koulibaly sebagai sasaran utama di jendela perpindahan akan datang.

Masalah utamanya kini ialah Napoli menuntut £90 juta untuk pemain pertahanan tersebut. Nilai tersebut adalah jauh lebih tinggi daripada kemampuan kewangan kelab seperti Liverpool.

Oleh kerana itu, kelab Merseyside tersebut berharap dengan menawarkan pemain antarabangsa Croatia, Lovren dalam proses perpindahan tersebut, maka harga yang perlu dibayar oleh Liverpool boleh direndahkan.

CB paling ampuh dunia

Sekiranya Liverpool berjaya memancing Koulibay – dengan atau tanpa Lovren – maka Liverpool dilihat mempunyai pasangan pertahanan tengah yang paling ampuh di dunia.

Pemain pertahanan dari Senegal itu dianggap antara pemain pertahanan lain dunia yang setaraf dengan Virgil van Dijk.

Gandingan kedua-dua pemain hanya akan memperkuatkan lagi juara baharu Liga Inggeris – yang turut telah membolot kejuaraan Eropah dan dunia pada tahun lalu.

Lovren pula yang sering menjadi mangsa cemuhan penyokong pasukan lawan mempunyai baki kontrak semusim sahaja lagi untuk kekal di Anfield.

Sepanjang musim ini beliau hanya beraksi 10 perlawanan Premier League.

Dengan prestasi Joel Matip dan Joe Gomez yang berselang seli diturunkan di sisi Van Dijk, peluang Lovren untuk mendapat tempat sebagai kesebelasan utama The Reds dianggap sukar.

Rebutan kelab Manchester

Saingan sebenar Liverpool untuk mendapatkan Koulibaly semestinya dua kelab Manchester yang sama-sama telah menyatakan minat untuk membawa masuk pemain pertahanan itu.

Kecederaan Aymeric Laporte pada awal musim telah memberi kesan kepada sistem pertahanan City pada musim ini.

Ia dianggap sebagai punca utama perbezaan cabaran City dan Liverpool di Premier League pda musim ini.

Kegagalan Joh Stones dan Nicolas Otamendi menampilkan prestasi yang diharapkan memaksa Guardiola menurunkan Fernandinho untuk beraksi di posisi tersebut – yang turut kehilangan Vincent Kompany pada penghujung musim lalu.

Di Old Trafford kehadiran Harry Maguire memberikan impak positif yang diharapkan oleh Ole Gunnar Solksjaer.

Namun situasi tidak menentu dan kecederaan yang kerap menimpa pemain lain di posisi sama seperti Victor Lindelof, Eric Bailly and Phil Jones masih lagi masalah utama United di bahagian itu.

Manakala Chris Smalling pula dijangka akan kekal AS Roma secara tetap pada jendela perpinahan akan datang.

Usaha Liverpool memburu Koulibaly dilihat usaha untuk meneruskan dominasi di Eropah dan juga England.

 

Kongsi artikel ini