Liridon Sah Ucap Selamat Tinggal Kepada Khon Kaen, Beri Bayangan Kembali Ke Liga Malaysia

Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi sah mengucapkan selamat tinggal kepada kelab Liga 1 Thailand, Khon Kaen United dan turut memberi bayangan akan kembali beraksi di saingan Liga Malaysia 2023.

Melalui perkongsian di IG Story, Liridon berkongsi sebuah foto ketika beraksi untuk Khon Kaen dan turut menulis kapsyen:

“Selamat maju jaya buat Khon Kaen United untuk baki saingan musim ini dan juga untuk masa hadapan. Terima kasih kepada penyokong dan pemain.”

Hantaran di IG Story pemain itu turut disusuli dengan satu lagi pertanyaan: “Selamat pagi Malaysia. Destinasi seterusnya 2023?”

Pertanyaan tersebut seolah-olah memberi bayangan Liridon akhirnya akan kembali mewarnai saingan Liga Malaysia sejak pemain itu meninggalkan JDT untuk menyertai Newcastle Jet di Liga Australia pada musim 2021.

Liridon tiba di Liga Malaysia pada musim 2015 bersama Kedah dan turut pernah menyarung jersi Melaka United sebelum menyertai JDT pada musim 2019.

Namun sejak itu beliau dipinjamkan oleh juara Liga Super Malaysia sembilan kali berturut-turut itu ke beberapa kelab luar negara, termasuk Odisha FC dan Khon Kaen United pada musim lalu.

Perkhabaran Liridon tidak lagi beraksi di Thailand sebenarnya sudah diketahui peminat bola sepak tempatan sejak tiga hari lalu setelah namanya tercicir daripada skuad Khon Kaen untuk mengharungi separuh musim kedua Liga Thai.

Semakan kemudian mendapati kontrak pemain kelahiran Kosovo itu telah tamat sejak 31 Disember lalu.

Liridon dipancing oleh Khon Kaen United pada awal Ogos tahun lalu, sebelum sepak mula Liga 1 Thai musim 2022/23.

Sejak tiba di Thailand, Liridon hanya melakukan enam penampilan bersama Khon Kaen meliputi 358 minit aksi.

Daripada 6 penampilan tersebut, beliau hanya melakukan 3 penampilan sebagai pemain kesebelasan utama dan gagal membantu pasukan itu mencapai sebarang kemenangan dalam setiap perlawanan beliau beraksi.

Dan sejak dipinjamkan bersama Newcastle Jet, Odisha FC dan Khon Kaen United, Liridon gagal menghadirkan sebarang jaringan atau assist untuk pasukan yang diwakilinya walaupun pernah mendapat gelaran ‘Raja Gelecek’ ketika beraksi di Indian Super League (ISL) bersama Odisha.

Prestasi merudum pemain berusia 31 tahun itu turut menyebabkan nama beliau digugurkan oleh Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon di pusingan kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun tahun lalu, dan sejak daripada itu tidak pernah dipanggil semula menyertai pasukan negara.

Ke manakah hala tuju Liridon Krasniqi selepas ini?

 

Kongsi artikel ini