Lim Teong Kim Mahu Syafiq Ahmad Perkuat Jentera Serangan Perak FC Musim Hadapan

Ketua Jurulatih Perak FC, Lim Teong Kim mensasarkan untuk membawa masuk penyerang JDT, Syafiq Ahmad untuk beraksi bersama Perak FC pada musim hadapan.

Hasrat itu diluahkan oleh bekas Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu semalam dalam satu program bual bicara yang disiarkan di Facebook semalam.

Antara perkara yang menjadi tumpuan Teong Kim dan Perak FC untuk membawa cabaran Perak di saingan Liga Super pada musim hadapan adalah untuk mengenal pasti pemain tempatan berkebolehan untuk memperkuatkan pasukan itu nanti.

Dan antara nama yang dinyatakan oleh Teong Kim adalah Syafiq Ahmad yang juga merupakan antara pemain utama skuad Harimau Malaya.

“Kalau kamu boleh bawa semua pemain-pemain tempatan, saya akan ambil semua.

Tetapi bukan senang nak ambil pemain-pemain tempatan yang baik kerana banyak kekangan yang perlu kita lalui.

Tetapi dari sekarang saya nak Syafiq Ahmad,” kata Teong Kim secara terbuka mendedahkan hasrat beliau itu.

Sejak melatih Perak FC, Teong Kim turut meluahkan rasa bangga terhadap pemain muda sedia ada di dalam skuad Perak FC pada musim ini.

Berdasarkan pemerhatian beliau di dalam sesi latihan, pemain-pemain ini telah menampilkan disiplin dan kebolehan, selain komitmen masing-masing untuk pasukan.

“Saya boleh lihat bahawa ramai pemain-pemain muda mempunyai sikap yang baik.

“Tak ada masalah dengan bola sepak kerana saya boleh mengajar mereka.

Sesi pertama Ketua Jurulatih Perak FC yang baru di Padang Latihan Stadium Mini, Chepor. Moh kita tengok macam mana deme…

Posted by Perak Football Club on Thursday, September 29, 2022

Itu adalah tugas saya untuk mengajar mereka bermain bola sepak,” tambah beliau lagi.

Selain Syafiq, antara nama yang turut dikaitkan dengan Perak FC untuk saingan Liga Malaysia musim hadapan adalah penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsuddin.

Pemain berusia 20 tahun itu kini bekelana di Belgium bersama KV Kortrijk, namun sehingga kini sukar untuk memperolehi minit perlawanan yang dikehendaki.

Ia tidak mustahil untuk Perak FC mendapatkan khidmat Luqman untuk saingan pada musim hadapan, mengambil kira hubungan rapat Teong Kim yang pernah melatih bakat Luqman sebelum ini ketika kedua-duanya masih berada di Akademi Mokhtar Dahari.

Namun disebabkan Luqman masih memiliki baki kontrak bersama KV Kortrijk, sebarang perjanjian melibatkan perpindahan pemain itu berkemungkinan melibatkan perpindahan secara pinjaman.

Kongsi artikel ini