Expand To Show Full Article
Lihat Tandukan Lambung Park Tae-su Memerangkap Syihan Hazmi, Pastikan Sabah FC Terus Berada Di Kelompok Atas MSL - Grandstand Kita

Lihat Tandukan Lambung Park Tae-su Memerangkap Syihan Hazmi, Pastikan Sabah FC Terus Berada Di Kelompok Atas MSL

Satu lagi perlawanan tumpuan Liga Super Malaysia (MSL) pada malam tadi pastinya terarah ke Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, membabitkan pertemuan di antara tuan rumah, Negeri Sembilan FC menentang Sabah FC.

Ini kerana kedua-dua pasukan berada di kelompok tiga teratas MSL di kedudukan ke-2 dan ke-3 liga, dan menjadi pasukan yang sedang mengikut rapat kedudukan pendahulu liga, JDT.

Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan serangan silih berganti, namun setiap gerakan dan percubaan yang dilakukan mudah dipatahkan bahagian pertahanan masing-masing.

Negeri Sembilan terlebih dahulu memiliki peluang untuk berada di hadapan seawal minit ke-6 perlawanan, tetapi percubaan leret pemain import, Matheus Alves berjaya diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat.

Situasi sama turut berulang pada babak kedua perlawanan apabila kedua-dua pasukan rancak melakukan serangan ke arah gawang lawan masing-masing namun tetap buntu menemui sentuhan penyudah.

Sabah FC akhirnya berjaya menemui jaringan yang dicari melalui gerakan set-pieces menarik pada minit ke-67 perlawanan.

Bermula daripada sepakan percuma dari kawasan tengah padang oleh  Jackson De Souza, sepakan jauh pemain itu dari jarak 40 meter berjaya menemui Park Tae-su yang tidak dikawal di kawasan far-post.

Pemain tengah dari Korea Selatan itu tidak membazirkan peluang yang dimiliki apabila dengan tenang melakukan tandukan placing cantik yang melambung masuk memerangkap penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi untuk gol tunggal perlawanan.

Kedudukan 0-1 itu kekal sehingga wisel penamat, dan membenarkan Sabah FC melonjak satu anak tangga ke kedudukan kedua MSL.

Selepas 10 perlawanan diharungi, siapa yang dapat menjangkakan prestasi konsisten anak buah Datuk Ong Kim Swee pada musim ini meletakkan pasukan dari Borneo itu di kedudukan kedua, ketinggalan hanya 1 mata berbanding pendahulu, JDT yang memiliki satu perlawanan di dalam tangan.

Sehingga kini, skuad badak itu telah merekodkan 7 kemenangan dan 1 seri untuk mengumpul 22 mata, mengatasi Negeri Sembilan yang jatuh ke kedudukan ketiga dengan 20 mata.

Kekalahan tersebut adalah yang kedua buat Negeri Sembilan di Paroi dan keseluruhan musim ini, selepas tewas dengan jaringan yang sama kepada JDT pada 11 Mei lalu.

Kongsi artikel ini