Lihat Reaksi Zii Jia Smash Bulu Tangkis Sampai Rosak Selepas Dinafikan Umpire Tukar Bulu Tangkis

Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia berjaya melayakkan diri ke separuh akhir kejohanan badminton terbuka Indonesia.

Menanti pemain terbaik perseorangan negara itu adalah Viktor Axelsen dan perlawanan membabitkan kedua-dua pemain perseorangan itu dijangka akan berlangsung jam 6pm ini.

Zii Jia berjaya melayakkan diri ke separuh akhir selepas cemerlang menumpaskan wakil dari Singapura, Loh Kean Yew, selepas melalui tiga set perlawanan.

Perlawanan menentang Loh Kean Yew bagaimanapun memiliki momen yang tidak lari daripada menarik perhatian netizen, khususnya peminat badminton.

Melalui video yang tular di Twitter dan TikTok, pada satu ketika dalam perlawanan tersebut Zii Jia dilihat meminta kebenaran daripada umpire perlawanan untuk menukar bulu tangkis.

Permintaan Zii Jia bagaimanapun dinafikan oleh umpire. Pemain perseorangan negara itu kelihatan tidak berapa berpuas hati, namun pasrah dengan arahan pegawai perlawanan itu.

Jadi apakah reaksi Zii Jia selepas itu. Selepas tidak dibenarkan untuk menukar bulu tangkis, Zii Jia tidak berdiam diri dan memaksa bulu tangkis ditukar pada servis seterusnya.

Menerima servis pemain Singapura itu, Zii Jia kemudiannya merejam dengan pantas hantaran seterusnya, menyebabkan Loh Kean Yew tidak berpeluang untuk menghantar kembali bulu tangkis melepasi jaring.

Zii Jia tidak membuang masa mengutip bulu tangkis dan menukarkan ia dengan yang baharu selepas itu.

Selain Zii Jia, peminat badminton negara juga bakal menyaksikan pasangan beregu negara, Aaron Chia/ Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir dan bakal berhadapan beregu China, Liu Yu Chen/Ou Xuan Yi.

Mampukah Lee Zii Jia dan pasangan beregu Aaron Chia/ Soh Wooi Yik mara ke perlawanan akhir Terbuka Indonesia 2022? Sama-sama kita nantikan petang ini.

Kongsi artikel ini