Lihat Pinpoint Cross Assist Daripada Dion Cools Bantu Jablonec Benam Brno 3-1

FK Jablonec meneruskan rentak cemerlang  apabila merekodkan kemenangan ketiga berturut-turut di di saingan Liga Fortuna Republik Czech.

Pasukan itu yang bermula agak hambar pada permulaan musim kini menjadikan Brno sebagai mangsa, dan perlawanan ini turut menyaksikan pemain pertahanan negara, Dion Cools diturunkan buat kali kedua berturut-turut untuk aksi liga bersama Jablonec.

Selepas berjaya menjaringkan satu gol ketika Jablonec merekodkan kemenangan 2-0 melalui penampilan pertamanya bersama kelab itu sejak melengkapkan perpindahan dari FC Midtjylland pada awal September, Cools terus menampilkan aksi cemerlang – kali ini membantu kelab baharunya menewaskan Brno 3-1.

Jablonec yang beraksi di tempat sendiri mendahului perlawanan melalui jaringan Jan Chramosta pada minit ke-17 perlawanan selepas pemain itu dengan mudah menolak masuk bola ke gawang kosong hasil gerakan daripada sayap kanan serangan.

Kedudukan 1-0 memihak kepada Jablonec kekal sehingga tamat saingan babak pertama.

Babak kedua perlawanan menyaksikan Cools turut mempunyai peluang untuk melebarkan kedudukan kepada 2-0, namun percubaan pemain  itu dari dalam kotak penalti berjaya ditampan penjaga gol lawan.

Brno kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan  melalui Jakub Reznicek pada minit ke-59 perlawanan yang mudah menolak masuk bola ke gawang, selepas bola terlebih dahulu terbias pada salah seorang pemain pertahanan Jablonec.

Enggan berdiam diri, Jablonec menggandakan asakan dan selang dua minit kemudian menyaksikan hantaran pinpoint crosses daripada Cools berjaya ditanduk masuk rakan sepasukan, Vladimir Jovovic untuk kedudukan berubah menjadi 2-1.

Ini adalah assist pertama Cools untuk FK Jablonec pada musim ini, membuktikan mengapa pemain ini dipandang tinggi oleh pengurus pasukan, David Horejs.

Jablonec melengkapkan kemenangan 3-1 ke atas Brno melalui satu lagi jaringan Chramosta pada minit ke-67 perlawanan.

Kemenangan ini menyaksikan Jablonec melonjak ke kedudukan ke-8 daripada 16 pasukan bertanding.

Walaupun telah berhijrah ke Republik Czech dan menyertai FK Jablonec, masa depan pemain itu tetap dipertikaikan dengan khabar angin menyatakan ia hanya persinggahan sementara buat Cools sebelum berhijrah ke Liga Malaysia.

Namun demikian, informasi yang dikongsi oleh sebuah laman perpindahan antarabangsa, Football Transfer mendedahkan Cools tekah mengikat kontrak selama semusim bersama kelab Fortuna Liga itu, dan kontrak beliau hanya akan tamat pada 30 Jun 2023.

Berdasarkan prestasi terkini pemain ini bersama Jablonec, tidak mustahil beliau akan terus kekal di Eropah melangkaui tempoh kontrak sedia ada.

Kongsi artikel ini