Lihat Larian Messi Dari Tengah Padang Yang Menggelecek Lawan Di Ruangan Sempit

Lionel Messi kelihatan amat tajam ketika membantu Barcelona mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Leganes pada awal pagi tadi.

Selepas ‘wonder kid’ Ansu Fati meletakkan Barcelona di hadapan, giliran kapten skuad Blaugrana itu pula mencuri tumpuan dengan skil hebatnya memukau pertahanan lawan sebelum dihadiahkan sepakan penalti pada babak kedua perlawanan.

Messi memperolehi bola di bahagian tengaj padang dan menggelecek beberapa pemain Leganes di hadapannya di ruangan sempit.

Namun ketika cuba melakukan hantaran kepada Luis Suarez, pemain dari Argentina itu dijaruhkan di dalam kotak penalti oleh pemain pertahanan lawan, Jonathan Silva.

Kemampuan Messi menampilkan close control dan ketenangan sebegitu di ruangan sempit sememangnya luar biasa. Bola seolah-olah melekat di kakinya, dan seperti tidak ada pemain lain mampu menyekat kemaraan pemain tersebut.

Messi kemudian dengan mudah menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan pengadil untuk gol ke-21 beliau di La Liga pada musim ini.

Ini juga bermakna Messi hanya memerlukan satu lagi gol untuk menggenapkan jumlah 700 gol yang dihasilkan sepanjang karier pemain itu.

Tatkala saingan pada musim ini berbaki 12 perlawanan, pemenang anugerah Ballon d’Or sebanyak enam kali itu dilihat berada di prestasi terbaik untuk menamatkan saingan sebagai penjaring terbanyak di Sepanyol buat kali ke-7.

Malah rekod legenda dunia Pele kini turut berada di dalam radar untuk dipecahkan oleh Messi. Beliau hanya memerlukan 14 gol lagi untuk memecah jumlah 643 gol yang dijaringkan oleh Pele untuk Santos.

Angka tersebut adalah jumlah jaringan terbanyak dijaringkan oleh seseorang pemain untuk sebuah kelab.

 

Kongsi artikel ini