Lihat Kompilasi Aksi ‘Hantaran Maut’ Badhri Radzi Musnahkan Pertahanan Lawan

Nama sebenar beliau adalah Mohd Badhri Mohd Radzi, dan sememangnya merupakan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan.

Dilahirkan pada 2 Jun 1982, Badhri Radzi lebih mesra dengan panggilan Piya di kalangan peminat dan penyokong bola sepak Kelantan.

Karier profesional Piya mula mendapat perhatian ketika bersama JPS Kelantan setelah membantu pasukan tersebut muncul juara Piala FAM.

Cemerlang bersama JPS Kelantan, khidmat Piya kemudiannya ditagih oleh PDRM FA dan berjaya membantu The Cops bergelar juara Liga Perdana pada musim 2007.

Setelah beberapa tahun berkelana di luar, Piya kembali ke negeri asalnya pada 2008.

Beliau dilantik sebagai kapten pada musim berikutnya ketika skuad The Red Warriors itu di bawah bimbingan Peter James Butler.

Era Piya mengetuai Kelantan dianggap sebagai zaman emas bola sepak Kelantan. Sepanjang tempoh itu, Kelantan telah merangkul kejuaraan Liga Super Malaysia pada 2011 dan 2012; kejuaraan Piala Malaysia pada 2010 dan 2012.

Kelantan turut menikmati kejayaan di pertandingan Piala FA pada 2012 dan 2013. Kerana itu Piya dianggap pemain kelahiran Kelantan yang paling berjaya dari segi koleksi kejuaraan.

Dari segi permainan, Piya dianggap sebagai seorang pemain tengah yang sangat dinamik.

Kelebihan utamanya ialah visi yang beliau miliki untuk melakukan hantaran maut, atau turut dikenali sebagai ‘penetration pass’ yang mematikan langkah pertahanan lawan.

Selain daripada itu, Piya turut mempunyai kelebihan menyempurnakan peluang daripada set-pieces.

Sepanjang bergelar pemain Kelantan, Piya pernah memenangi Anugerah Pemain Tengah Terbaik pada 2013 dan 2014, selain daripada Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia pada 2013 di Anugerah Bola Sepak kebangsaan (ABK).

Atas jasa dan khidmat beliau untuk bola sepak Kelantan, Piya turut pernah dianugerahkan Pingat Setia Mahkota Kelantan (PS) sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan ke 42.

Kongsi artikel ini