Lihat Kesilapan Budak Sekolah David Luiz Punca Arsenal Kalah Lawan Kelab Bawahan

Kalau ikut latihan bola sepak wakil sekolah dulu, cikgu atau jurulatih akan pesan. “Jangan simpan bola lama-lama. Pass…pass!!!!!. Simple football gais…simple football!!!”

Arahan tersebut biasanya untuk memastikan pemain tidak hilang bola. Ia juga merupakan asas kepada bola sepak, dengan melakukan hantaran mudah kepada rakan sepasukan lain, ketika diberi tekanan oleh pemain lawan.

David Luiz buat kesilapan budak sekolah

Walaupun perkara asas seperti itu sudah diajar ketika zaman sekolah, namun kesilapan yang mengundang padah sebegitu tetap berlaku kepada mana-mana pemain, waima pemain berkelas dunia sekalipun – seperti David Luiz.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan kesilapan beliau adalah punca Arsenal hilang arah dan tewas kepada kelab dari Championship, Brentford baru-baru ini.

Perlawanan persahabatan menentang Brentford itu diatur dalam usaha Mikel Arteta mempersiapkan The Gunners menjelang ‘Project Restart’, dan perlawanan pertama adalah menentang Manchester City.

Arsenal sehingga saingan ditangguhkan pada Mac lalu masih bergelut untuk mendapatkan slot ke pertandingan Eropah pada musim hadapan.

Dan perkara terakhir yang diharapkan oleh Arteta ialah untuk melihat pemain paling berpengalaman di bahagian pertahanan melakukan kesilapan mudah, sehingga dihukum pasukan bawahan yang menyebabkan Arsenal dimalukan 3-2.

Semangat melawan Brentford

Arteta menurunkan kesebelasan terbaik dan skuad yang kuat selama 60 minit perlawanan. Walaupun melakukan beberapa pertukaran selepas itu, The Gunners masih skuad yang kuat di atas kertas.

Skuad Arteta mendahului dua kali 1-0, dan 2-1. Namun ia tidak menghalang Brentford bangkit menghukum kealpaan benteng Arsenal yang rapuh – dan merupakan masalah utama The Gunners sejak beberapa musim lalu.

Luiz menyertai Arsenal dari Chelsea pada hari terakhir jendela perpindahan musim panas lalu, dan menandatangani kontrak selama setahun, dengan pilihan sambungan untuk musim kedua.

Ia semakin jelas pemain itu tidak akan kekal di Stamford Bridge pada musim hadapan, bermakna Chelsea melabur sebanyak £24 juta hanya untuk setahun.

Arteta membawa masuk Pablo Mari secara pinjaman pada Januari lalu, dan kini mempunyai pilihan untuk menjadikan perjanjian tersebut sebagai perpindahan tetap.

Begitu juga dengan pemain muda Perancis William Saliba yang dibeli pada musim panas lalu, sebelum membenarkan pemain tersebut kembali menyertai St. Etienne pada musim panas lalu, dijangka akan menjadi pemain utama Arteta di Arsenal pada musim hadapan.

 

Kongsi artikel ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on print
Share on email