Lihat Gol Voli Ashley Young, Sanchez Skor1 Gol & 2 Assist Bantu Inter Baham Brescia 6-0

Inter Milan membelasah Brescia 6-0 dalam perlawanan Serie A pada awal pagi tadi.

Kesemua gol dijaringkan oleh enam pemain berbeza termasuk oleh Ashley Young, Alexis Sanchez, Danilo D’Ambrosio dan juga Christian Eriksen.

Inter memulakan perlawanan dengan gugup. Kesilapan awal Ashley Young memberikan peluang keemasan untuk Brescia mendahului.

Namun demikian peluang terhidang menyaksikan percubaan Alfredo Donnarumma tinggi melangit walaupun hanya berhadapan Samir Handanovic di hadapan gol.

Young menebus kesilapannya tidak lama selepas itu dengan gol pembukaan apabila menyambut hantaran lintang Sanchez dari sebelah kanan dengan satu sepakan voli yang deras pada minit ke-5

Kemudian giliran Sanchez merekodkan nama sebagai penjaring melalui sepakan penalti selepas Victor Moses dijatuhkan untuk melebarkan kedudukan kepada 2-0, 15 minit selepas itu.

Gol tersebut merupakan jaringan kedua Sanchez di Serie A sejak menyertai Inter Milan secara pinjaman dari Manchester United sejak permulaan musim.

Inter tidak berhenti memberikan tekanan menyaksikan tandukan kilas Lautaro tersasar dan sepakan voli oleh Moses pula melambung tinggi, tatkala Joronen terpaksa beraksi tangkas menepis keluar bola terbias yang dihasilkan dari sepakan penjuru.

Gol ketiga akhirnya terhasil sebelum tamat babak pertama apabila hantaran lintang Young disambut Danilo untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Babak kedua bersambung, Roberto Galiardini melebarkan kedudukan menjadi 4-0 untuk Inter selepas menanduk masuk bola sepakan percuma Alexis Sanchez.

Inter meneruskan amukan di San Siro selepas itu. Eriksen yang tampil dari bangku pemain simpanan menjadikan kedudukan 5-0 selepas Joronen gagal menahan kemas percubaan awal Romelu Lukaku.

Ia tidak berhenti di situ sahaja. Candreva yan terlepas peluang berada di dalam senarai penjaring sebelum itu dengan gol kaki kiri yang melencong masuk menewaskan penjaga gol.

 

Kongsi artikel ini