Lihat Gol Counter Attack Man Utd Oleh Bruno Fernandes Yang Dianggap Klasik

Manchester United kini dilihat berada di tahap terbaik sejak ketibaan Ole Gunnar Solksjaer.

Sebelum saingan liga ditangguhkan, skuad The Red Devils tidak tewas dalam 11 perlawanan di semua pertandingan.

Kecemerlangan itu dilanjutkan selepas itu. United kini tidak tewas dalam 15 perlawanan.

Dan sudah pasti prestasi cemerlang sebegini bukan satu kebetulan.

Ia dikatakan berkait rapat dengan ketibaan Bruno Fernandes – yang belum lagi merasa kekalahan beraksi sebagai pemain United.

Pemain dari Portugal itu menyerlah sekali lagi dalam perlawanan menentang Brighton pada awal pagi tadi.

Mason Greenwood memberikan gol pembukaan, sebelum giliran Fernandes mencuri tumpuan untuk United dengan dua gol yang dijaringkan pada setiap babak perlawanan.

Gol kedua oleh Bruno Fernandes dianggap sebagai vintaj dan klasik.

Bermula daripada bola yang dimenangi oleh Harry Maguire melalui tandukan di bahagian pertahanan, Nemanja Matic kemudiannya berjaya menemui Greenwood di sayap kiri.

Bola hantaran daripada Greenwood kemudian disambut dengan voli oleh Fernandes dari dalam kotak penalti untuk melengkapkan kemenangan United.

Jaringan tersebut mengingatkan ramai penyokong United kepada gandingan Wayne Rooney, Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez satu ketika dahulu yang biasa melakukan gerakan serangan pantas yang menghukum lawan.

Gol tersebut bermakna Fernandes kini secara purata terlibat dalam setiap satu gol United untuk setiap 95 minit perlawanan sejak berhijrah dari Sporting Lisbon.

Kemenangan tersebut bermakna United berkongsi mata dengan Wolves di tangga kelima, dua mata di belakang Chelsea yang akan berhadapan West Ham pada awal pagi nanti.

Β 

Kongsi artikel ini