Lihat Gerakan Nafuzi-Ball Hancurkan ‘High Pressing’ KL City Dengan 7 Hantaran

Nafuzi Zain dikenali sebagai salah seorang jurulatih muda di negara ini yang memiliki falsafah bola sepak dikenali sebagai Nafuzi-ball.

Nafuzi mengambil alih pasukan ini sekitar tahun 2019. Sejak daripada itu, jurulatih berusia 43 tahun itu mempraktikkan corak permainan menarik, berasaskan hantaran pendek dan memiliki aliran bola/fluidity yang lancar.

Sistem yang dibawa oleh Nafuzi membenarkan gerakan pasukan bermula daripada bawah, sehingga mampu menghasilkan ancaman di bahagian serangan.

Hari ini corak permainan sedemikian telah menjadi identiti skuad Terengganu FC di saingan Liga Malaysia.

Apa yang dipraktikkan oleh Nafuzi bertentangan dengan corak permainan ‘route 1’ seperti kebiasaan pasukan lain di Liga Malaysia, yang terlalu bergantung kepada seorang target man di bahagian depan.

Dan cubaan daripada seorang jurulatih tempatan yang masih muda seperti Nafuzi untuk mempraktikkan model bola sepak yang beliau percaya wajar dipuji.

Pada malam tadi, gerakan Nafuzi-ball yang sering diperkatakan jelas kelihatan dalam perlawanan menentang KL City FC.

Lebih menarik gerakan dari bahagian sisi pertahanan sehingga ke blok rendah itu turut berjaya mematahkan high pressing yang dilakukan oleh anak buah Bojan Hodak.

Dengan kiraan tujuh hantaran, barisan pemain Terengganu menukar transisi daripada bertahan kepada serangan.

Semua itu dilakukan dengan tenang dan bersahaja, yang bermakna pemain memahami apa yang dikehendaki oleh Nafuzi.

Dalam gerakan tersebut, pemain melakukan hantaran pendek kepada rakan dengan tenang, dan mereka juga tahu di mana posisi seharusnya mereka berada untuk melincirkan gerakan.

Dalam perlawanan pada malam tadi, Terengganu FC menewaskan KL city FC dengan jaringan 2-0 hasil jaringan Habib Maroon dan Manuel Ott.

Kongsi artikel ini