Lihat Faisal Halim Cetus Kemarahan Keeper Sri Pahang, ‘Menganjing Molek’ Selepas Sempurnakan Penalti

Pergaduhan hampir tercetus dalam perlawanan membabitkan Terengganu FC menentang Sri Pahang FC di saingan Liga Super Malaysia (MSL) yang berlangsung pada malam tadi.

Dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak itu, pasukan tuan rumah berjaya menewaskan skuad Tok Gajah dengan jaringan 2-1.

Tetapi pergaduhan hampir tercetus pada minit ke-80 perlawanan dek kerana cara nakal pemain Terengganu, Faisal Halim meraikan jaringannya.

Segalanya bermula pada minit ke-76 perlawanan apabila pemain gantian Sri Pahang, Shahrul Aizad dipersalahkan kerana menjatuhkan Faisal Halim di dalam kotak penalti perlawanan.

Kesalahan tersebut mendorong pengadil memberikan sepakan penalti kepada pasukan Terengganu yang kemudiannya diambil sendiri oleh Faisal.

Sepakan Faisal bagaimana pun berjaya diselamatkan oleh Mamadou Samasa, sebelum pengadil mengarahkan agar sepakan tersebut diambil semula, dipercayai kerana Samasa terlebih dahulu bergerak daripada garisan gol.

Sepakan kedua nyata tidak disia-siakan oleh Faisal selepas sepakannya menuju penjuru atas kanan gawang menewaskan Samasa.

Faisal kemudiannya meraikan jaringan dengan rakan sepasukan sebelum menuju ke gawang Sri Pahang dan melakonkan semula aksi Samasa yang gagal menyelamatkan sepakan tersebut.

Perbuatan Faisal itu nyata menyebabkan Samasa marah sehingga mau menyerbu ke arah pemain itu, sebelum Samassa ditenangkan oleh rakan sepasukan.

Dalam perlawanan pada malam tadi, Nafuzi Zain melakukan beberapa perubahan taktikal berbanding pertemuan dengan Negeri Sembilan FC sebelum ini dan hanya memerlukan 52 saat untuk mendahului perlawanan.

jaringan tersebut adalah hasil tolakan Kpah Sherman yang sebelum itu mendapat umpanan pemain tengah, Petrus Shetembi untuk menewaskan penjaga gol tinggi lampai Mali, Mamadou Samassa.

Terengganu memiliki beberapa peluang terbaik pada babak kedua perlawanan untuk melebarkan kedudukan namun gagal menyudahkannya sehinggalah sepakan penalti yang disempurnakan oleh Faisal Halim.

Ketika permainan sebenar berbaki empat minit sebelum ditamatkan, Abdul Malik berjaya menghasilkan gol sagu hati untuk pasukannya selepas berjaya memperdayakan penjaga gol, Suhaimi Husin untuk merapatkan kedudukan 2-1.

Kedudukan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.

Kongsi artikel ini