Lihat Ego Letsile Tebogo Direntap Pelumba Israel Acara Akhir 200 Meter, Dipisahkan Dengan Jurang Masa Hanya 0.006 Saat

Selepas memenangi pingat emas acara 100 meter di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia baru-baru ini, atlet Bostwana, Letsile Tebago turut menjadi pilihan utama untuk merangkul pingat yang sama di dalam acara 200 meter kejohanan tersebut.

Apatah lagi selepas Tebogo turut mencipta rekod kejohanan dengan catatan masa 19.98 saat di saringan kedua acara itu semalam.

Kemampuan Tebogo sememangnya menjadi sorotan media antarabangsa sepanjang Kejohanan Olahraga Remaja Dunia terutama sekali selepas beliau begitu menyerlah di acara 100 meter.

Di dalam acara akhir 100 meter sebelum ini, Tebogo berlari secara bersahaja menewaskan beberapa pelari lain termasuk atlet muda negara, Azeem Fahmi yang sebelum itu merekodkan catatan masa kedua terbaik kejohanan edisi kali ini.

Malah ketika acara 100 meter, Tebogo sempat menoleh dan mengangkat tangan ke arah Azeem dan beberapa pelari lain sebelum tiba di garisan penamat, tanda keyakinan beliau untuk menewaskan semua pelari lain di acara tersebut.

Kisah berlainan untuk acara 200 meter

Tidak seperti acara 100 meter, kisah berbeza dihadapi oleh Letsile Tebogo untuk acara 200 meter apabila ditewaskan pada saat akhir oleh atlet Israel, Blessing Afrifah.

Di dalam acara akhir 200 meter pada pagi tadi, Tebogo yang memulakan perlumbaan di lane ke-4 memulakan larian meyakinkan apabila berjaya berada di hadapan untuk meninggalkan pelari lain.

Sepanjang larian, beliau diikuti rapat oleh pelari Israel, Afrifah yang berlari di lane kelima.

Namun tiba di laluan 100 meter terakhir, Afrifah meningkatkan momentum larian sebelum berjaya memintas Tebogo di garisan akhir untuk membuatkan Tebogo kempunan pingat emas acara tersebut.

Berbeza ketika melakukan larian di acara 100 meter akhir, tiada lagi lagak menoleh ke pelari lain dan mengangkat tangan simbol kemenangan oleh Tebogo di acara 200 meter.

Tebogo akhirnya terpaksa pasrah dengan pingat perak kejohanan untuk acara 200 meter, dipisahkan oleh catatan masa hanya 0.0006 saat di belakang pelari Israel, Blessing Afrifah.

Bukan sahaja Afrifah memenangi emas acara 200 meter. Catatan beliau 19.96 saat juga merupakan rekod kejohanan baharu.

Kongsi artikel ini