Lihat ‘Backhand-Spin Smash’ Lee Zi Jia, Mudah Tewaskan Wakil Perancis Di Kejohanan Dunia BWF 2022

Lee Zi Jia mudah menewaskan Brice Leverdez 21-9, 21-13 dalam aksi pusingan pertama Kejohanan Dunia BWF 2022 yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo pada hari ini.

Pemain No.1 negara itu nyata bersemangat dan tidak mempunyai masalah untuk menewaskan lawannya dari Perancis itu apabila berjaya mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua kejohanan tersebut.

Selepas tidak beraksi di dalam beberapa kejohanan termasuk Sukan Komanwel dan Terbuka Singapura, keadaan fizikal pemain No.5 dunia ini kelihatan begitu mantap.

“Setakat ini, semuanya dalam keadaan (fizikal) baik. Saya agak teruja untuk kembali semula beraksi di gelanggang,” ujar Zi Jia seperti yang dipetik daripaa Berita Harian.

“Saya menarik diri daripada Sukan Komanwel untuk melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi Kejohanan Dunia kali ini.

“Seperti yang kita tahu Malaysia belum pernah lagi meraih kejuaraan dunia dan seperti yang saya katakan sebelum ini saya mahu menjadi yang pertama memenanginya,” kata Zii Jia.

Backhand-spin smash

Bagi peminat dan pengikut sukan badminton tanah air, teknik backhand-spin smash oleh Lee Zi Jia bukan perkara yang asing lagi.

Ia adalah teknik di mana Zi Jia membalas pukulan bulu tangkis dengan teknik backhand yang deras.

Pada masa yang sama, badannya turut akan berpusing 360 darjahagar momentum badannya mampu memberi kekuatan kepada pukulan yang dihasilkan.

Malah ia dianggap sebagai gerakan istimewa atau signature move daripada pemain berusia 24 tahun itu.

Dalam pertemuan menentang Brice Leverdez, Zi Jia turut melakukan smash yang begitu digeruni lawan itu. Malah pemain badminton profesional negara itu melakukannya dua kali – sekali pada setiap satu set!

Backhand-spin smash pertama yang dilakukan oleh pemain itu dilakukan seawal set pertama ketika kedudukan 3-1.

Bermula dengan aksi di hadapan jaring, pukulan balas agak tinggi oleh Leverdez dibalas Zi Jia dengan pantas – memusingkan badan sebelum melibas bulu tangkis dengan raketnya dengan deras – langsung tidak memberi peluang kepada pemain Perancis itu.

Gerakan hampir serupa turut diperagakan oleh Zi Jia pada set kedua dengan gaya lebih agresif.

Dalam satu rali ketika sedang selesa mendahului 16-10, Zi Jia tidak teragak-agak mengeluarkan skilnya itu sekali lagi untuk mematikan bola – kali ini dari tengah gelangang.

Menanti Zi Jia di pusingan seterusnya adalah pemain Portugal, Bernardo Atilano. Kedua-dua pemain akan berentap untuk memburu slot ke pusingan seterusnya pada Rabu nanti.

Kongsi artikel ini