Lihat Azeem Fahmi Gegar SNBJ Dengan Larian 10.25 Saat Di SUKMA XX

Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi menepati ramalan awal sebagai pelari pilihan apabila berjaya menamatkan larian di acara 100 meter akhir di SUKMA XX dengan catatan masa 10.25 saat, sekaligus meraih pingat emas untuk Perak.

Menjadikan kemenangan ini lebih manis adalah kerana ini merupakan pingat emas Azeem Fahmi di temasya ini, selepas sekadar menempatkan diri di kedudukan ke-8 pada temasya sebelum ini dengan larian 10.90 saat.

Pelari dari Johor, Muhammad Arsyad Md Saat pula membawa pulang pingat Perak dengan larian 10.46 saat dan gangsa dimenangi atlet Negeri Sembilan, Muhammad Haiqal Hanafi yang melakukan catatan 10.50 saat.

Untuk rekod, rekod temasya masih dipegang oleh Khairul Hafiz Jantan yang memecah rekod kebangsaan pada ketika itu dengan catatan masa 10.16 ketika temasya berlangsung di Kuching pada 2016.

Rekod tersebut bagaimanapun dipadam oleh Azeem Fahmi di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia yang berlangsung di Cali, Colombia pada Ogos lalu, apabila beliau melakukan larian 10.09 saat untuk menjadi rekod kebangsaan yang baharu.

Larian 10.25 saat yang dilakukan oleh Azeem adalah larian ketiga terpantas yang direkodkan oleh pelari ini sepanjang tahun ini, termasuk selepas merekodkan 10.14 saat di acara akhir 100 meter di Cali.

“Sudah pasti ada sesuatu bermain di dalam fikiran ketika larian. Tetapi untuk larian ini, yang penting saya harus tenangkan diri dan berlari mengikut rentak sendiri,” uajr beliau ketika ditembual wartawan selepas acara akhir 100 meter sebentar tadi.

“Tiada perkara yang sepatutnya mendatangkan tekanan, dan nikmatik sahaja larian kerana ini kali kedua sahaja saya beraksi di SUKMA.

“Dan saya berjaya melakukan yang lebih baik berbanding penampilan saya di SUKMA sebelum ini apabila mengakhiri larian di tempat ke-8 di final lalu.

“Tetapi pada tahun ini saya kembali, dan saya mendapatkan apa yang saya berhak perolehi, iaitu pingat emas.”

Masa depan Azeem kini terus menjadi bualan di kalangan peminat sukan tanah air selepas pernah mendapat tawaran untuk menjadi pelari pecut profesional.

Azeem bagaimanapun tetap mahu mendahulukan pelajaran dan pada masa yang sama terus bergelar atlet dan dilaporkan akan ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran.

Sebelum ini, Azeem dikhabarkan memilih Universiti Houston untuk berbuat demikian dan untuk membenarkan dirinya berlatih di bawah kendalian bekas pemenenang pingat emas sembilan kali dan legenda pecut Amerika Syarikat, Carl Lewis.

Kongsi artikel ini