Lihat Aksi Menteri Yang ‘Over Sungguh’ Menjelaskan Industri Hiburan Berbeza Dari Bola Sepak

Pembatalan Piala Malaysia musim 2020 turut mendapat reaksi negatif pemain, jurulatih, pengamal industri dan penyokong.

Rata-rata berpendapat MKN tidak perlu bertindak drastik sedemikian rupa kerana semua perlawanan yang diadakan kembali selepas dibenarkan sebelum ini telah diadakan berdasarkan SOP yang telah ditetapkan.

Swab test untuk tujuan saringan wabak adalah antara perkara yang diwajibkan oleh MFL sebelum setiap pasukan dibenarkan berlatih dan kembali beraksi pada Jun lalu.

Ketiadaan sebarang kes positif dilaporkan setakat ini daripada acara sukan adalah bukti jelas setiap SOP yang diperkenalkan telah dipatuhi dengan baik oleh pasukan bertanding.

Penjelasan Pak Long

Menyedari pengumuman oleh beliau tidak diterima dengan baik oleh ramai, Menteri Kanan keselamatan, YB Dato’ Ismail Sabri bin Yaacob hari ini cuba memberikan penjelasan mengapa bola sepak dan pertandingan Piala Malaysia 2020 tidak boleh diteruskan buat masa ini.

“Pak Long teliti pelbagai komen yang diutarakan warganet berkenaan penganjuran bola sepak,” ujar beliau dalam muat naik di Facebook pada hari ini.

“Pak Long faham kemarahan beberapa penyokong bola sepak yang merasakan ketidakadilan kerana perlawanan bola sepak adalah dilarang sepanjang PKPB.

“Izinkan Pak Long menerangkan sedikit mengapa perlawanan bola sepak tidak boleh dilaksanakan agar tidak timbul salah faham berpanjangan mengenai perkara ini.

“Dalam perlawanan bola sepak, penjarakan sosial adalah mustahil malah berlaku pertembungan dan bersentuhan di atas padang lebih-lebih lagi dalam keadaan berpeluh.

“Semestinya perlawanan bola sepak melibatkan beberapa negeri dan akan melibatkan pergerakan rentas negeri.

“Di dalam bilik persalinan juga sukar di kawal SOP dan begitu juga sewaktu ke tempat perlawanan dengan bas. Pastinya persentuhan akan berlaku.

“Banyak bahayanya kepada pemain bola sepak itu sendiri dan juga krew-krew yang terlibat dalam perlawanan bola sepak.

“Perlawanan bola sepak ini bukan lah dibatalkan terus tetapi ditangguhkan sehingga tamat PKPB.

“Bukan lah Pak Long hendak melarang sebarang aktiviti sukan. Tidak. Pak Long faham ramai rakyat Malaysia meminati sukan dan menjadikan sukan bola sepak sebagai pilihan tontonan utama. Pak Long sendiri pun penyokong Pahang FA dan #kekalsetia menyokong Chelsea FC.

“Tetapi keputusan ini diambil bagi mengambil kira pelbagai aspek yang jelas untuk kebaikan bersama.

“Lagipun rakyat sudah dimaklumkan dalam PKPB, pertandingan berpasukan tidak dibenarkan. Sukan SUKMA juga dibatalkan secara sukarela.

“Fikirkan juga keselamatan dan nyawa pemain-pemain bola sepak kita.”

Walaupun sudah mendapat penjelasan oleh Pak Long, masih wamai netizen khususnya penyokong bola sepak yang masih tidak berpuas hati.

Ada juga di kalangan mereka yang membezakan bola sepak yang sedang berlangsung di luar negara khususnya di eropah tanpa sebarang halangan.

Tidak kurang juga yang membandingkannya dengan industri hiburan yang bebas diadakan di negara ini, tetapi perkara sebaliknya membabitkan bola sepak.

Apa pula pendapat anda dengan penjelasan oleh Pak Long mengenai industri hiburan seperti di dalam video di bawah?

“Kadang-kadang kita nampak di atas stage yang ramai-ramai tersebut, sebenarnya menari di masa yang berbeza-besa, di tempat berbeza. Tetapi dari segi teknologi moden pada hari ini gambar tersebut disatukan seolah-olah nampak tarian itu bersama,” ujar beliau seperti video di atas ketika menjelaskan mengenai industri hiburan.

Piala Malaysia 2020 telah membuka tirai pada 6, 7 dan 8 November lalu di mana lapan pasukan telah layak ke suku akhir iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuala Lumpur, Pulau Pinang, UiTM FC, Kedah, Perak, Terengganu FC dan Selangor.

Malang sekali penyokong bola sepak kini terpaksa melupakan terus aksi bola sepak tempatan dan sebaliknya layan sahajalah Gegar Vaganza.

Apa pula pandangan anda semua? Logik ke tak logik? Power atau tak komen Pak Long? Atau kesungguhan itu over sangat?

Kongsi artikel ini