Liga Super: JDT Kekalkan Rekod Tanpa Kalah, Atasi Kedah Dengan 10 Pemain

Baru 10 minit perlawanan bermula, sudah dua kad kuning masing-masing untuk setiap pasukan. Ini sudah cukup mengisahkan suhu perlawanan di antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menentang JDT dalam perlawanan ini.

Percubaan tepat pertama dalam perlawanan ini bagaimanapun hadir pada minit ke-11 apabila sepakan percuma Leandro Velasquez muntah daripada dakapan Shahril Saa’ri sebelum clearance dilakukan pertahanan Kedah.

Seminit selepas itu Sang Kenari berada di hadapan apabila larian Ronald Ngah dari tempat sendiri berjaya menewaskan beberapa pemain pertahanan JDT, sebelum pemain itu merembat masuk menewaskan Farizal Marlias untuk Kedah mendahului 1-0.

Peluang keemasan JDT menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-27 selepas Shahril gagal membaca kemas hantaran lintang rendah Arif Aiman dari sebelah kanan, namun penjaga gol itu berjaya menebus kesilapan apabila berjaya menampan percubaan susulan bahagian serangan JDT.

Gerakan kemas berpasukan melibatkan 5 pemain pada minit ke-31 oleh pasukan Kedah turut tidak membuahkan hasil apabila ia berakhir dengan rembatan Mahmoud Al-Mardi yang sekadar mengegarkan bahagian sisi luar jaring JDT.

Kelekaan bahagian pertahanan Kedah pada minit ke-35 bagaimanapun membenarkan Bergson da Silva melepasi perangkap offsaid untuk menjaringkan gol penyamaan, selepas mendapat hantaran lambung kemas daripada Afiq Fazail.

Selang seminit selepas itu Bergson sekali lagi mengancam gawang Kedah, namun kali ini rembatannya sipi di sebelah kanan gawang Kedah.

Drama berlaku pada pengakhiran babak pertama perlawanan apabila Bergson dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana tindakannya menghayunkan tangan ke arah kepada Rodney Calvin ketika situasi berebut bola di udara.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat babak pertama perlawanan.

Walaupun beraksi dengan 10 pemain JDT tetap bernafsu memburu jaringan dan hampir melakukannya melalui sepakan percuma Leandro yang tersasar pada minit ke-51.

Kesilapan pemain gantian, Azmeer Alias menjatuhkan Syafiq Ahmad di dalam kotak penalti mengundang padah apabila pengadil perlawanan memberikan penalti kepada JDT.

Leandro tenang menyudahkan sepakan tersebut untuk membenarkan JDT mendahului 2-1.

Ronald Ngah sepatutnya berjaya menyamakan kedudukan buat Kedah pada minit ke-68, tetapi pemain itu menyaksikan tandukannya gagal menepati sasaran walaupun mempunyai ruang agak selesa untuk berbuat demikian.

Dalam kelekaan Kedah berusaha memburu gol penyamaan, benteng mereka sekali lagi dihukum oleh JDT pada minit ke-80 perlawanan.

Kali ini giliran Afiq Fazail meledakkan jaringan dari dalam kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Kedudukan tersebut kekal sehingga wisel penamat, sekaligus bermakna JDT sehingga kini belum tewas 47 perlawanan di tempat lawan setakat ini.

Kongsi artikel ini