Liga M3 yang bakal menjadi divisyen ke-3 di dalam hierarki bola sepak negara akan berstatus semi pro mulai musim 2023.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Wira Yusoff Mahadi melalui satu sidang media semalam.
Perubahan status liga tersebut bermakna Liga M3 akan terdiri daripada barisan pemain yang sebahagian besar memiliki kontrak sepenuh masa dengan kelab sepertimana pemain-pemain profesional yang lain.
14 pasukan bertanding
Melalui sidang media di Wisma FAM semalam, Amatur Football League (AFL) selaku badan penganjur Liga M3 mengesahkan 14 pasukan akan bertanding di saingan itu pada musim hadapan.
Ini termasuklah Melaka United dan Sarawak United yang gagal mendapat lesen pertandingan di saingan Liga Super Malaysia 2023.
SIARAN MEDIA: 14 PASUKAN SAH SERTAI LIGA M3 2023
Baca berita penuh di 👉🏻 https://t.co/22r7aYW8Ez#AFL #LigaM32023 pic.twitter.com/WCHEbLOa7C
— Amateur Football League (@MY_AFL) December 29, 2022
“Ini salah satu cara untuk kami naik taraf pasukan ini apabila mereka mempunyai pemain yang bermain bola sepenuh masa walaupun saya tahu ada beberapa pasukan yang (memiliki) pemain kontrak penuh.
“Yang penting kami hendak tengok kualiti pasukan ini yang akan naik ke Liga Super. Jadi turun naik akan berlaku pada 2023.
“Jadi persiapan pasukan mestilah menyediakan pasukan yang baik untuk saingan di peringkat atas.
“Kami juga ada (pelantar) Piala FA jadi mestilah pasukan ini mempunyai kualiti untuk berjumpa wakil Liga Super,” kata Yusoff Mahadi kepada media.