Legasi 85 Tahun : Enam Perkara Terbaik Bagi Selangor 2021

Gergasi Merah ‘The Red Giants’ akan melakukan kebangkitan pada musim 2021 Liga Super Malaysia (MSL) menjelangnya aksi pertama pasukan Lembah Klang ini menentang pasukan Sri Pahang di gelanggang rasmi baru mereka Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 06 Mac 2021 (Sabtu).

Segalanya bermula dengan lancar dengan perancangan teliti serta persiapan yang rapi telah dilaksanakan oleh pengurusan Selangor FC yang berada di bawah naungan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Shah Idris Shah Alhaj Raja Muda Selangor.

Baginda merupakan pemegang saham utama syarikat Red Giants FC Sdn Bhd setelah proses penswastaan pasukan bola sepak Selangor FA beralih kepada Selangor FC telah diluluskan.

Pembaharuan pasukan Selangor FC ini memberikan ruang seluas-luasnya untuk memulakan ‘reset’ dan bergerak maju ke hadapan demi mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor pada musim ini.

Ini enam perkara terbaik yang telah diusahakan oleh pengurusan Selangor FC 2021.

1. Mengekalkan logo yang sedia ada

Selangor FC tidak mengubah logo mereka seperti sebahagian kelab lain lakukannya. Mereka akan menggunakan logo sedia ada yang yang berbentuk perisai dan dengan lambang Jata Selangor di bahagian atas. Cuma yang bertukar ialah perkataan pasukan kepada kelab sahaja.

Menurut mereka logo ini cukup bermakna dan simbolik dan telah lama sebati dengan pasukan Gergasi Merah kerana merupakan lambang keberanian dan kedaulatan yang ada pada pasukan Selangor dan tidak mudah untuk ditukarkan begitu sahaja.

2. Menyuntik DNA bola sepak Jerman

Selangor FC mengambil keputusan yang bijak membawa jurulatih dari Jerman , Karsten Neitzel untuk menaikkan skuad The Red Giants ke tahap yang lebih tinggi pada musim 2021.

Neitzel berusia 52 tahun telah membimbing kelab-kelab di Jerman seperti Rot-Weiss (RW) Essen, SV Elversberg, Holstein Kiel serta turut pernah bergelar penolong pengurus dan pengurus interim di kelab Bundesliga 2, VFL Bochum.

Berpengalaman di Asia selama semusim sebagai pembantu kepada pengurus pasukan dari Jerman, Volker Finke ketika bersama Urawa Reds ia sudah pasti reputasi dan pengalaman Neitzel akan diuji sejauh mana beliau mampu memacu Selangor untuk menamatkan penantian menjulang sebuah trofi.

Karsten Neitzel Liga Malaysia (Liga-M) Selangor

Gambar : Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)an

3. Brendan Gan sebagai kapten Gergasi Merah Baru

Pemain midfield berusia 32 tahun ini sememangnya berhak memakai lilitan kapten untuk pasukan Selangor FC pada musim ini kerana beliau mempunyai karisma kepimpinan sebagai general di atas padang.

Penyokong Selangor memang mengharapkan nama Brendan Gan diangkat oleh Karsten Neitzel menjadi kapten baru dan ia adalah satu perkara yang sangat disukai oleh mereka.

4. Jersi Baharu Legasi Lagenda ‘SuperMokh’

Sejarah menjadi bukti bahawa legasi Allahyarham Mokhtar Dahari tidak pernah dilupakan. Namanya , gaya permainan dan kehebatannya masih lagi diingati oleh penyokong bola sepak tempatan.

Mengambil inspirasi daripada jersi yang pernah digunakan oleh Mokhtar Dahari ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 1986 menewaskan dan ia merupakan perlawanan terakhir lagenda itu sebelum mengundurkan diri daripada pasukan Selangor.

Jersi baharu ini mengembalikan nostalgia era Selangor 1986 terutama untuk Allahyarham kerana beliau adalah satu-satunya pemain yang mempunyai rekod memenangi Piala Malaysia sebanyak 11 kali bersama Selangor.

Ternyata , ia langkah yang bijak daripada Selangor FC kerana dalam tempoh 48 jam ia habis terjual dan perlu pertambahan stok baru.

5. Gandingan dua penyerang profilik Eky dan Ifedayo.

Selangor mendapatkan Shahrel Fikri dari Perak untuk digandingkan bersama dengan Ifedayo Olusegun sebagai penjaring gol utama.

Rekod kedua penyerang ini pasti akan membuatkan pertahanan lawan berasa gelisah nanti ketika berhadapan dengan mereka.

6. Tiga Pemain Import Eropah

Tim Heubach , Oliver Buff dan Manuel Konrad merupakan pemain yang mempunyai pengalaman luas dalam liga Eropah terutama di Jerman. Kualiti yang ada kepada tiga pemain ini akan menjadi salah satu kunci kepada keyakinan Selangor melakar kejayaan yang hebat.

Penutup

Legasi 85 tahun yang disambut pada 22 Februari lalu kini Selangor mempunyai barisan pemain yang terbaik untuk memberikan cabaran sengit kepada pasukan lawan terutamanya kelab Johor Darul Ta’zim yang masih menjadi calon terbaik untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super Malaysia buat kali ke lapan pada musim ini.

Sebanyak 12 pasukan akan bertanding dalam liga super dan sudah pasti ia adalah saat yang dinantikan oleh penyokong-penyokong mereka untuk melihat sajian bola sepak tempatan yang bermula pada hari Jumaat 05 Mac 2021.

 

 

Kongsi artikel ini