Selepas insiden kekecohan melibatkan penyokong di Stadium Perak ketika perlawanan menentang Selangor pada hujung minggu lalu, pihak pengurusan Perak FC nekad untuk membanteras gejala samseng bola sepak yang boleh memberikan imej negatif terhadap kelab itu.
Dan antara langkah awal yang akan diambil ialah untuk berbincang dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengenal pasti golongan tersebut, sekali gus menghalang mereka menghadiri mana-mana perlawanan membabitkan pasukan itu pada masa hadapan.
Perkara itu dinyatakan oleh pihak pengurusan Perak melalui satu kenyataan semalam. Sekiranya direalisasikan, maka Perak FC akan menjadi kelab Liga Malaysia pertama menggantung kehadiran penyokong ke stadium kerana gejala tidak sihat itu.
“Kami akan mengadakan perbincangan dengan pihakj berkuasa dalam masa terdekat bagi mengenal pasti pelaku dan akan mengambil tindakan larangan kehadiran mereka ke stadium bagi menghentikan pengaruh negatif ini,” ujar kenyataan tersebut.
“Perak FC mengucapkan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia serta FRU atas tindakan tangkas mereka dalam meleraikan pergaduhan dan provokasi antara kedua-dua penyokong.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya tingkah laku buruk yang yang menimbulkan kekacauan dan menganggu keharmonian.”
Perak FC turut mengakui proses membina kelab itu sukar dan akan mengambil tempoh masa yang panjang.
Panas! Kekecohan terjadi di antara penyokong Perak dan Selangor namun dapat ditenangkan oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU)#LigaSuper2023 pic.twitter.com/cU2vlJCDNW
— Flash Sukan (@FlashSukan) May 20, 2023
Bagaimanapun sebagai sebuah kelab persendirian, keutamaan Perak FC adalah untuk membangunkan kelab itu sebagai sebuah entiti komersial, sebelum menguruskannya sebagai peminat bola sepak.
Dalam perlawanan pada Sabtu lalu, sekumpulan penyokong Perak dilihat menyerbu ke arah tempat duduk penyokong Selangor untuk melakukan provokasi.
Walaupun berjaya dileraikan oleh pihak berkuasa, insiden tersebut kemudiannya terus berlaku di luar stadium sehingga mengundang campur tangan FRU.
Tindakan menggantung penyokong bermasalah atau pun golongan samseng bola sepak sebenarnya bukan perkara asing di luar negara terutama di Eropah.
Malah di dalam beberapa kes, penyokong bola sepak yang bersikap keterlaluan telah digantung seumur hidup daripada menyaksikan perlawanan di dalam stadium.