Kylian Mbappe Jaringkan Gol Solo Untuk PSG Sebelum Lengkapkan Hatrik

Kylian Mbappe pasti akan mememangi Ballon d’Or satu hari nanti.

Apabila era Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo berakhir satu hari nanti, tiada keraguan lagi tumpuan akan beralih kepada penyerang antarabangsa Perancis ini – sebagai salah seorang pemain terbaik dunia.

Mbappe sudah pun mengecapi pelbagai pencapaian dalam karier yang dianggap masih setahun jagung. Dan apa yang dilaluinya membuktikan beliau sentiasa menjadi pemain yang lebih baik setiap hari.

Pemain antarabangsa Perancis ini beraksi untuk Paris Saint-Germain menentang Lyon dalam pertandingan Coupe de France pada awal pagi tadi.

Dan Mbappe telah menjaringkan satu jaringan yang dilakukan secara solo untuk menjadikan kedudukan 3-1 dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Groupama.

Selepas melakukan pintasan ketika membantu barisan pertahanan di tempat sendiri, Mbappe berjaya menewaskan seorang pemain Lyon dengan melakukan beberapa step-over.

Ia diikuti dengan larian deras bersama bola ke arah kotak penalti lawan.

Mbappe adalah salah seorang pemain terpantas di dalam bola sepak, dan di dalam senario ini, Mbappe melakukan serangan balas counter-attack itu bersendirian.

Tidak ada pemain lawan berjaya mengejar beliau.

Mbappe kemudiannya seperti mahu melepaskan rembatan kaki kanan, sebelum melakukan satu cutting back untuk melepasi seorang lagi pemain pertahanan Lyon.

Percubaan kemudiannya dilakukan untuk menewaskan Anthony Lopes di hadapan gawang Lyon.

Ia adalah jaringan kedua pemain muda ini untuk membantu PSG menang mudah 5-1. Beliau kemudiannya melengkapkan hatrik sebelum tamat masa perlawanan.

Tidak hairanlah mengapa kelab seperti Real Madrid sentiasa mengetuk pintu PSG untuk mengintai pemain seperti Mbappe.

Kongsi artikel ini