Kumpulan Ultras, Penyokong Dortmund Raih €80,000 Bantu Perniagaan Dan Penduduk Setempat

Kumpulan ultras dan penyokong Borussia Dortmund yang lain mengambil inisiatif luar biasa di dalam memastikan industri berkaitan bola sepak di Dortmund terus kekal hidup di sebalik penularan wabak coronavirus.

Penangguhan perlawanan sehingga ke tarikh yang sukar ditetapkan akibat coronavirus, tidak dinafikan telah memberikan impak kewangan kepada kelab-kelab bola sepak di seluruh dunia.

Dortmund adalah salah satu kelab dimana pemain, staff kejurulatihan dan pengurusan tertinggi kelab menerima pemotongan gaji demi memastikan kelangsungan kelab untuk bertahan dari krisis yang dibawa oleh wabak ini.

Tidak ketinggalan tampil membantu di barisan hadapan ialah kumpulan penyokong kelab Jerman tersebut.

Tiga kumpulan ultras Dortmund kini turut tampil menawarkan bantuan kepada mereka yang dikuarantin di bandar tersebut.

Pada satu masa, kumpulan ultras ini dilaporkan boleh menerima sehingga 15 permintaan untuk penghantran bantuan untuk mendapatkan bekalan barangan keperluan di pasaraya, atau pun ubatan di farmasi.

Penyokong Dortmund yang lain turut tampil dengan idea kreatif demi memastikan kelangsungan perniagaan di sekitar Signal Iduna Park yang terjejas boleh terus beroperasi selepas tempoh berkurung selesai.

Turut diadakan adalah ‘hari perlawanan digital’ khusus untuk perniagaan di sektor Dortmund Gastronomy.

 

Sektor tersebut adalah laluan utama menuju ke Signal Iduna Park di mana terletaknya pub, restoran, atau pun kedai runcit yang sering menjadi persinggahan penyokong yang menuju ke stadium pada hari perlawanan.

Pada hari perlawanan digital, penyokong dibenarkan menderma secara online kepada premis-premis sepanjang laluan tersebut.

Sepanjang kempen dengan hasgtag #BorussiaVerbindet yang membawa makna ‘Borussia bersatu’, usaha tersebut berjaya meraih lebih dari €80,000.

Ia adalah inisiatif murni daripada Borussia Dortmund dan penyokong mereka demi memastikan kelangsungan bola sepak di Jerman.

Kongsi artikel ini