Kuching City Ikat Anak Bekas Penjaga Gol EPL Jaga Gawang Musim 2023

Kuching City FC mengesahkan telah mengikat Julian Schwarzer Garcia sebagai pemain import untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2023.

Julian dilaporkan telah diikat oleh pendatang baharu Liga Super Malaysia itu dengan kontrak selama satu tahun.

Nama Julian mungkin agak asing bagi peminat bola sepak tempatan. Namun bagi pengikut Liga Perdana Inggeris, anda pasti akan mengenali nama Mark Schwarzer yang pernah membintangi beberapa kelab di England seperti Middlesbrough, Fulham, Chelsea dan Leicester City.

Julian merupakan anak kepada Mark Schwrazer dan seperti ayahnya, beliau juga beraksi di posisi penjaga gol.

Berusia 23 tahun dan memiliki ketinggian 1.81 meter, Julian sebelum ini turut pernah menyertai beberapa kelab di England, termasuk menyertai skuad remaja Fulham.

Walaupun tidak pernah beraksi bersama skuad utama kelab London itu, Julian pernah dinamakan sebagai penjaga gol ketiga ketika perlawanan Liga Kejuaraan EFL menentang Bolton Wanderers.

Selain Fulham, Julian turut pernah menyertai beberapa kelab liga bawahan lain di England dan Jerman seperti Harlow Town, Slough Town, Chipstead, Pipinsried, Harrow Borough dan Basingtoke Town.

Sebelum menyertai Kuching City, Julian merupakan salah seorang pemain di dalam skuad pembangunan bola sepak Filipina, Azkals Development Team (ADK) yang menamatkan saingan Liga Filipina di kedudukan keempat pada musim lalu.

Walaupun ayahnya pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Australia, Julian yang boleh beraksi bersama beberapa negara kerana asal usul keluarganya memilih Filipina untuk karier antarabangsanya.

Malah beliau adalah salah seorang penjaga gol skuad kebangsaan Filipina yang beraksi di Piala AFF Mitsubishi Elektrik 2022 baru-baru ini selain daripada Kevin Mendoza dan Anthony Pitus.

Kongsi artikel ini