Kronologi Liridon Rentasi 5 Kelab Dan 3 Negara Sebelum Atasi Kemarau Jaringan Sejak Tinggalkan Melaka United

Liridon Krasniqi meluahkan rasa gembiranya selepas dinamakan Pemain Terbaik Perlawanan ketika Terengganu FC menewaskan Kelantan United 2-1 dalam perlawanan Liga Super Malaysia (MSL) di Stadium Sulran Mizan Zainal Abidin pada malam tadi.

Kemenangan tersebut bukan sahaja memberi 3 mata penting buat skuad penyu kendalian Tomislav Steinbruckner untuk terus memberi harapan pasukan itu mampu memberi saingan kepada kelompok atasan liga selepas permulaan agak perlahan pada musim ini.

Lebih daripada itu, Liridon akhirnya berjaya memecah kemarau jaringan selama lebih empat tahun, walaupun telah beraksi bersama empat pasukan di tiga negara sepanjang tempoh tersebut.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MATDON (@liridonkrasniqi_8)

“Alhamdulillah! Sukar menjelaskan perasaan apabila berjaya menjaringkan gol pertama setelah sekian lama untuk membantu pasukan saya menang perlawanan ini.

“Terima kasih kepada kakitangan kejurulatihan dan penyokong. Teruskan sokongan. Terus ingat agar sentiasa percayakan perancangan Allah,” tulis beliau.

Berdasarkan perkongsian tersebut, jelas sekali Liridon seolah-olah sangat lega kerana akhirnya berjaya memecah kebuntuan jaringan yang sekian lama dinanti-nantikan.

Apa tidaknya. Satu ketika dahulu Liridon dianggap sebagai aset berbahaya kepada mana-mana pasukan yang berjaya mendapatkan khidmatnya.

Tugas utama beliau sebagai pemain tengah sememangnya bukan sebagai penjaring utama pasukan. Namun sejak kali terakhir menghasilkan jaringan ketika membantu Melaka United menewaskan PJ City FC dalam kemenangan 2-1 pada 2 Februari 2019, Liridon gagal melibatkan diri dalam sebarang gol bersama empat pasukan lain yang disertainya.

Bersama JDT hanya seketika, Liridon kemudiannya dipinjamkan ke Newcastle Jets di Liga Australia. Perpindahan pemain itu ke Liga Australia baru-baru ini dianggap sebagai salah satu misteri tidak terungkai di dalam bola sepak Australia.

Berhijrah ke Liga Super India (ISL) bersama Odisha FC selepas itu, Liridon bertelagah dengan pengulas bola sepak, Erik Paartalu yang suatu ketika dahulu pernah menjadi bintang import di negara itu.

Semuanya kerana keraian berlebihan Liridon dalam perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri pada perlawanan terakhir musim tersebut.

“Selepas hanya sekadar seri [meraikan secara berlebihan]?” Tulis Paartalu. Tidak cukup dengan itu, Paartalu turut menyindir Liridon kerana gagal menghasilkan sebarang jaringan atau assist sepanjang semusim beraksi di ISL.

Anehnya, walaupun gagal menghasilkan sebarang jaringan atau assist sepanjang 16 penampilan bersama Odisha sepanjang semusim beraksi secara pinjaman, Liridon tetap merupakan pemain yang popular di kalangan peminat.

Sekurang-kurangnya Liridon pernah dinobatkan sebagai ‘Raja Gelecek’ di ISL selepas merekodkan purata 83% kejayaan menggelecek lawan. Tidak ada pemain lain di ISL yang berjaya menghasilkan rekod sedemikian pada musim  ini di ISL.

Selepas sah tidak lagi bersama Odisha selepas itu, Liridon membawa diri ke Thailand pada musim 2022/23 untuk menyertai Khon Kaen United.

Sekali lagi Liridon mengecewakan dengan masalah kecergasan turut menghadkan penampilannya bersama pasukan itu. Beliau hanya kekal separuh musim di Thailand sebelum akhirnya disambar Terengganu FC.

Sejak tiba di Thailand pada Ogos lalu, Liridon sebenarnya boleh beraksi dalam 15 perlawanan Liga Thai, meliputi aksi di saingan liga dan pertandingan domestik trofi yang lain.

Namun demikian Liridon terlepas aksi tiga perlawanan pertama liga menentang Bangkok Utd, Ratchaburi FC, dan Sukhotai FC kerana isu kecergasan.

Secara keseluruhan, Liridon hanya melakukan 6 penampilan sepanjang bersama Khon Kaen United selama hampir lima bulan lalu tanpa sebarang jaringan atau assit.

Daripada 6 penampilan tersebut, beliau hanya melakukan 3 penampilan sebagai pemain kesebelasan utama. Jumlah tersebut hanya merangkumi 358 minit aksi.

Membuatkan statistik ini bertambah buruk, Liridon gagal membantu Khon Kaen United untuk menang walaupun satu perlawanan pun, baik ketika saingan liga, atau pun pertandingan lain di Liga Thai.

Kontrak Liridon bersama JDT akan tamat pada penghujung tahun ini. Ketika itu lebih sukar untuk meyakinkan mana-mana kelab untuk mendapatkan khidmatnya.

Sudah tentu Liridon kini berharap segala pengalaman sukarnya sebelum ini dapat dilupakan, dan jaringan pertamanya sejak lebih empat tahun lalu kini harus menjadi pemangkin kepada prestasi yang lebih baik dan konsisten selepas ini.

All the best Liridon!

 

Kongsi artikel ini