Kronologi Dan Punca Pertempuran Luar Padang Thailand-Indonesia Yang Cemari Final Bola Sepak Sukan SEA

Indonesia menamatkan penantian 32 tahun untuk merangkul pingat emas acara bola sepak lelaki di temasya Sukan SEA pada malam tadi apabila menewaskan Thailand 5-2 selepas masa tambahan.

Perlawanan tersebut terpaksa diheret ke masa tambahan setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas masa sebenar permainan tamat.

Perlawanan tersebut turut dicemari dengan layangan 4 kad merah kepada pemain kedua-dua pasukan – 1 untuk Indonesia dan satu untuk Thailand – selain beberapa layangan kad merah kepada pegawai dan staf kejurulatihan daripada kedua-dua pasukan.

Perlawanan turut dihentikan beberapa kali setelah ketegangan dan aksi tumbuk menumbuk turut dilakukan oleh pemain dan pegawai kedua-dua pasukan sehingga menjadikan perlawanan tersebut seperti medan pertempuran.

Bola sepak sememangnya dikenali sebagai salah satu sukan yang penuh emosi. Kegagalan mengawal emosi sudah pasti akan mewujudkan ketegangan.

Namun demikian apakah pencetus utama kejadian? Mengapakah ianya berlarutan sehingga memaksa pengadil menghentikan perlawanan sebanyak dua kali?

Indra Sjafri gagal kawal emosi

Pada ketika Thailand sedang ketinggalan 2-1 dan baki masa tambahan 7 minit sudah tamat, Ketua Jurulatih Indonesia berlari masuk bersama-sama barisan kejurulatihan lain untuk meraikan kemenangan tanpa menyedari pengadil belum pun meniup wisel penamat.

Salah sangka dari kem Indonesia berlaku apabila pengadil yang meniup wisel untuk memberikan sepakan percuma kepada Thailand disangka telah meniupkan wisel penamat.

Pengadil turut mengarahkan Indra dan jurulatih/pegawai Indonesia yang lain meninggalkan kawasan permainan.

Menyedari perlawanan sebenarnya belum lagi tamat, Indra dan jurulatih/pegawai lain bergegas meninggalkan padang. Pada ketika ini, agaknya apakah yang dilihat oleh kem Thailand?

Thailand beri reaksi melampau

Menariknya, sepakan percuma yang diberikan kepada Thailand menjadi punca gol penyamaan pasukan itu – sejurus sebelum tamat masa sebenar.

Ia adalah gol penyamaan penuh dramatik oleh Yotsakon Burapha yang bermaksud perlawanan akan dilanjutkan ke masa tambahan, dan Thailand menghidupkan peluang untuk menang setelah ketinggalan 2-0 pada babak pertama perlawanan.

Pada ketika ini momentum sememangnya milik Thailand. Namun perkara berikutnya berlaku sekali gus merosakkan peluang mereka. Sekali lagi ia berlaku kerana kegagalan mengawal emosi.

Jaringan tersebut menyebabkan kem Thailand, diketuai oleh dua pembantu jurulatih menyerbu ke kawasan teknikal Indonesia. Tindakan tersebut dipercayai menjadi respon balas terhadap keraian awal yang dilakukan Indonesia sebelum wisel penamat ditiup.

Insiden tersebut menyebabkan pengadil terpaksa menghrntikan perlawanan seketika untuk meleraikan ketegangan yang mulai kelihatan di antara kedua-dua kem. Mujurlah pihak keselamatan sudah bersedia lebih awal untuk mengelakkan insiden yang lebih tidak diingini berlaku.

Situasi semakin tidak terkawal

Terikat 2-2, Indonesia tidak menunggu lama untuk kembali mendahului melalui jaringan melalui jaringan Irfan Jauhari – kurang seminit selepas perlawanan dimulakan kembali.

Kini giliran kem Indonesia bertindak balas dengan menyerbu ke arah kawasan teknikal Thailand dan menyebabkan aksi tumbuk menumbuk berlaku.

Selain daripada jurulatih, ketegangan kali ini turut melibatkan pemain kedua-dua pasukan sehingga menyebabkan penjaga gol Thailand, Soponwit Rakyart dan pemain Indonesia, Komang Teguh dilayangkan kad merah.

Situasi tersebut memaksa pengadil memanggil Indra dan Issara Sritaro untuk menenangkan kem masing-masing dan perlawanan dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan

Berjaya menjaringkan gol awal di masa tambahan untuk mengembalikan kelebihan, momentum kembali milik Indonesia. Dan selepas beraksi untuk tempoh masa yang panjang, pemain Thailand tampak keletihan dan moral mereka juga terjejas. Situasi yang berlaku di luar padang juga pasti tidak membantu.

Derita Thailand kemudiannya bertambah apabila dua lagi pemain mereka diarahkan keluar padang kerana kad kuning kedua, dan Indonesia melebarkan kelebihan melalui dua lagi gol melalui Fajar dan Beckham.

Kongsi artikel ini