Komen Jelek Netizen Terhadap Anak Azam Azih Dianggap Melampau

Netizen dan peminat bola sepak tempatan dianggap melampau kerana memberikan komen jelek di gambar anak Azam Azih yang dikongsikan isterinya di Instagram.

Semua itu hanya kerana marah dan bertanggapan pemain tengah Sri Pahang FC itu sebagai punca pasukan negara gagal mencapai kemenangan ke atas Thailand.

Di dalam perlawanan King’s Cup pada malam tadi, pasukan negara diikat 1-1 oleh skuad Gajah Perang selepas gol pendahulan pasukan negara jaringan Corbin Ong dipadam oleh pemain pertahanan, Pansa Hemviboon.

Jaringan penyamaan itu berpunca daripada kesilapan Azam Azih melakukan kekasaran yang menyebabkan beliau dilayangkan kad merah.

Susulan kekasaran tersebut, gerakan set-pieces yang diambil oleh Thailand dimanfaatkan sepenuhnya oleh Pansa untuk mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Mujurlah barisan pemain yang dipilih seperti Dion Cools, Syafiq Ahmad, Matthew Davies, Declan Lambert, dan Corbin Ong, semuanya berjaya menyempurnakan sepakan masing-masing dan membawa Harimau Malaya ke final selepas sepakan pemain Thailand, Supachok Sarachat berjaya diselamatkan oleh Syihan Hazmi yang beraksi cemerlang di dalam perlawnaan ini.

Anak yang menjadi mangsa

Melalui perkongsian oleh isteri Azam, Iffa Najiha Nor, beliau terkejut apabila akaun Instagram dirinya diserang oleh netizen dan peminat bola sepak Malaysia susulan kad merah yang diterima Azam.

Lebih menyedihkan komen-komen jelek turut dilakukan di gambar anak lelaki pasangan anak itu yang berumur 2 tahun.

Terkilan dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu, isteri Azam Azih, Iffa Najiha Nor Mohamed Zin menerusi laman Insta Story miliknya mengingatkan agar jangan memberi komen di hantaran gambar cahaya mata mereka

“MashaaALLAH takut sangat baca komen-komen anda,” ujar Iffa.

“Dahlah dekat gambar anak yang tak bersalah. Nak taip atau komen sesuatu jangan dengan hawa nafsu.

“Iffa maafkan semua. InshaALLAH dengan kecaman semoga Azam dapat belajar dari kesilapan dan berusaha untuk beri yang terbaik di masa akan datang. Doakan yang baik-baik semua,” tulis isteri Azam Azih.

Azam Azih turut mohon maaf

Menyedari kesilapannya di dalam perlawanan tersebut, Azam Azih pada hari ini turut melakukan permohonan maaf melalui muat naik di Instagram peribadi miliknya.

“Minta maaf [kepada] semua. Dah cuba yang terbaik tapi hilang fokus lasr minit.”

“Terima kasih familu dan team [rakan sepasukan] bagi kata-kata semangat. Komen-komen positif dan negatif akan jadi pembakar semangat saya untuk jadi lebih baik di masa akan datang,” ujar pemain itu ringkas.

Azam Azih sebenarnya antara pemain yang beraksi dengan baik buat pasukan negara di dalam perlawanan ini apabila peranan beliau sebagai destroyer sering kali berjaya merencatkan gerakan Thailand di bahagian tengah.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Atlead Pass ® (@atleadpass)

Sepanjang perlawanan, Azam Azih merupakan pemain kedua terbanyak melakukan pintasan di dalam padang iaitu sebanyak 5 kali, selain 3 clearances penting untuk membantu bahagian pertahanan.

Skuad Harimau Malaya akan bertemu dengan Tajikistan di perlawanan akhir King’s Cup pada Ahad nanti dan ini adalah pertama kali Malaysia melangkah ke perlawanan akhir kejohanan jemputan ini sejak bergelar juara pada 1978.

Kongsi artikel ini