Klopp Balas Surat Penyokong Man Utd Berusia 10 Tahun Yang Mahu Liverpool Berhenti Menang

Penyokong Liverpool di seluruh dunia kini hanya menunggu detik terbaik untuk meraikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris, sekaligus menamatkan penantian 30 tahun mereka.

Bukan sahaja ia kelihatan hampir pasti akan bergelar juara. Lebih daripada itu, Liverpool turut memecahkan pelbagai rekod dalam bola sepak Inggeris – termasuk yang menjadi milik Manchester United.

Mari kita jujur dengan diri kita. Rata-rata penyokong Manchester United tidak senang dengan keadaan ini. Itu normal kerana perseteruan kedua-dua kelab.

Begitu juga dengan penyokong United berusia 10 tahun bernama Daragh Curley.

Setelah dominasi hampir tiga dekad oleh United di Liga Inggeris, Curley berpendapat Liverpool terlalu rakus dalam usaha mereka merangkul kejuaraan pada musim ini.

Selepas 26 perlawanan liga sehingga kini Liverpool belum tewas walau dalam satu perlawanan pun.

Ini mendorong Curley menulis surat kepada Jurgen Klopp, meminta pengendali dari Jerman itu agar membuatkan Liverpool tidak lagi menang dalam mana-mana perlawanan pada musim ini.

Surat tersebut berbunyi seperti di bawah:

Salam Jurgen Klopp,

Nama saya adalah Daragh. Saya berusia 10 tahun. Saya bersekolah di Glenswili N.S di Donegal. Saya adalah penyokong Manchester United dan tujuan menulis surat ini ialah untuk buat complain.

Liverpool telah mememangi terlalu banyak perlawanan. Jika anda menang lagi 9 perlawanan, maka anda tidak terkalah di bola sepak Inggeris. Perkara ini amat menyedihkan bagi seorang penyokong United.

Maka pada perlawanans seterusnya, biarkan saja Liverpool kalah. Benarkan saja pasukan lain menjaringkan gol. 

Saya berharap saya telah meyakinkan anda untuk tidak menang lagi mana-mana perlawanan.

Yang benar,

Daragh.

Tanpa diduga oleh Daragh, surat itu dibalas oleh Jurgen Klopp sendiri. Malangnya Klopp menyatakan beliau tidak dapat menunaikan permintaan tersebut.

Menariknya, Klopp menjelaskan dengan penuh sopan kepada penyokong cilik ini, sambil menyatakan kekaguman terhadap minat dan kesungguhan Daragh.

“Malangnya pada situasi ini, saya tidak boleh membenarkan permintaan anda berlaku. Ia bukan pilihan untuk saya,” jawab Klopp.

“Sebagaimana anda mahukan Liverpool untuk kalah, ia adalah tugas saya untuk melakukan apa yang terdaya untuk memastikan Liverpool menang.

“Ini kerana ada jutaan manusia di seluruh dunia mahukan ia begitu, dan saya tidak mahu mereka dikecewakan.”

Di dalam surat itu juga Klopp menjelaskan bahawa dominasi Liverpool pada hari ini bukan sesuatu yang akan kekal. Ada kalanya pusingan di dalam bola sepak akan mengubah keadaan.

Klopp turut kagum dengan semangat yang dinyatakan oleh Daragh sebagai seorang penyokong Manchester United.

“Satu perkara yang tidak akan berubah ialah semangat anda terhadap bola sepak dan kelab. Manchester United amat bertuah kerana memiliki penyokong seperti anda,” tambah Klopp.

“Waaupun kelab kita adalah seteru besar, kita berkongsi nilai hormat menghormati antara satu sama lain.

“Bagi saya, inilah makna sebenar bola sepak.”

 

Kongsi artikel ini