Klip Khayal Lacazette Ambil Gas Ketawa Ketika Lockdown Didedahkan

Pemain penyerang Arsenal, Alexandre Lacazette berkemungkinan akan berhadapan tindakan daripada pihak kelab selepas klip video dirinya menyedut gas ketawa dari belon didedahkan di sebuah tabloid.

Lacazette dipercayai berbuat demikian ketika lockdown, dan pengambilan gas ketawa tersebut dipercayai untuk tujuan khayal.

Nyanyian muzik rap turut dapat kedengaran dari klip tersebut, sambil pemain yang dibayar £185,000 seminggu itu menikmati gas tersebut perlahan-lahan.

Lacazettee kemudiannya kelihatan rileks di sofa sambil matanya tertutup menikmati dunianya sendiri.

Menurut The Daily Star, rakaman tersebut dipercayai diambil oleh pemain itu sendiri di kediamannya. Bagaimanapun tidak diketahui bagaimana video tersebut boleh diperolehi oleh pihak media.

Bukan kali pertama

Ini bukan kali pertama pengambil gas ketawa atau lebih dikenali sebagai ‘hippy crack’ di kelab malam di kalangan pemain Arsenal.

Pada 2018, beberapa pemain Arsenal termasuk Lacazette sendiri, Mesut Ozil, Matteo Guendouzi, Pierre-Emerick Aubameyang dan Sead Kolasinac diberikan amaran keras oleh pihak kelab atas perbuatan mereka itu.

Kejadian berlaku hanya beberapa hari sebelum saingan musim 2018/19 bermula

Kesan buruk Nitrous oxide

Hippy crack atau sebenarnya adalah Nitrous oxide boleh memberikan beberapa kesan buruk seperti memperlahankan fungsi otak dan tindak balas refleks anggota tubuh badan.

Pengambilan Nitrous oxide memberikan perasaan khayal kepada penggunanya dan boleh menyebabkan halunisasi. Antara kesan kesan sampingan lain ialah seperti sakit kepala, pening dan juga gangguan mental.

Dalam bidang perubatan ianya digunakan sebagai ubat pelali kepada pesakit gigi. Namun ia turut boleh menyebabkan kekurangan oksigen dan telah menyebabkan 17 kematian di UK.

Ia bukan perbuatan yang salah untuk memiliki gas tersebut, namun di England ia dilarang untuk dijual kepada pengguna di bawah umur 18 tahun.

 

Kongsi artikel ini