Klausa Kontrak ‘Luar Kebiasaan’ Papu Gomez Bersama Sevilla Mungkinkan Beliau Sertai JDT Seawal Januari Depan

Perkhabaran JDT untuk mendapatkan playmaker kalab La Liga Sepanyol yang beraksi bersama Sevilla, Papu Gomez bukan lagi rahsia selepas niat itu dikongsikan sendiri oleh pemilik kelab, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) pada minggu lalu.

Berusia 34 tahun, Papu Gomez dijangka akan menjadi salah seorang pemain veteran yang akan membawa cabaran Argentina ke Piala Dunia 2022 di Qatar pada Disember akan datang.

“Saya tidak pasti. Atau mungkin Papu Gomez dari Sevilla. Anda tidak akan tahu [apa akan berlaku]. Sememangnya sudah ada perancangan dilakukan untuk memperkuatkan skuad musim hadapan. Kita akan lihat,” tulis TMJ di akaun Twitternya mengenai pemain itu sebelum ini.

Nama Papu Gomez sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi setelah kejayaan bersama Atalanta di Serie A Itali. Dianggap legenda di kelab Itali itu, Gomez bagaimanapun berhijrah ke Sevilla pada Januari 2021.

Klausa luar biasa kontrak Papu Gomez

Jadi apakah kemungkinan untuk Papu Gomez menyarung jersi JDT pada musim hadapan? Berdasarkan kontrak pemain itu bersama Sevilla, ia sebenarnya tidak mustahil untuk melihat Papu Gomez beraksi di Liga Malaysia pada musim 2023.

Pemain tengah menyerang itu sebelum ini menandatangani kontrak selama tiga tahun setengah bersama kelab dari Andalusia itu. Ini bermakna kontrak tersebut akan tamat pada 30 Jun 2024.

Walaupun demikian, tidak mustahil untuk Papu Gomez menyertai JDT seawal Januari 2023.

Ini kerana menurut laporan Football Espana, kontrak Papu Gomez bersama Sevilla tidak mempunyai klausa pelepasan. Malah Papu Gomez adalah satu-satunya pemain yang tidak mempunyai klausa pelepasan di dalam kontrak di Sevilla.

Mengikut peraturan di Sepanyol, klausa pelepasan wajib diletakkan di dalam kontrak pemain untuk membenarkan ianya ditebus dengan nilai tertentu oleh kelab lain yang berminat mendapatkan pemain itu di kemudian hari.

Di dalam kes-kes tertentu, pemain dan pihak kelab dibolehkan untuk tidak bersetuju meletakkan sebarang klausa disebabkan faktor tertentu – seperti kes Papu Gomez dan Sevilla.

Jadi berapa nilai Papu Gomez perlu dibayar JDT?

Jadi berapakah nilai Papu Gomez yang perlu dibayar oleh JDT untuk mendapatkan khidmat pemain ini daripada Sevilla?

Atalanta sebelum ini mendakwa Sevilla telah membayar €15 juta (RM68.16 juta) untuk membenarkan pemain itu berhijrah ke Estadio Deportivo pada 2021.

Namun terdapat laporan mengatakan Sevilla hanya membayar €7.5 juta (RM34 juta) – di mana €2 juta (RM9 juta) daripada nilai tersebut adalah di dalam bentuk bayaran tambahan (berdasarkan pencapaian).

Nilai pasaran mengikut Transfermarkt pula menyatakan Papu Gomez pada hari ini bernilai sekitar €6 juta (RM27.27 juta).

Secara logiknya, JDT perlu membayar sekitar €6 juta (RM27.27) juta sekiranya benar-benar berminat untuk mendapatkan Papu Gomez dari Sevilla.

Nilai tersebut dijangka akan menjadi lebih rendah menjelang Januari hadapan. Walaupun demikian, nilai tersebut masih dianggap begitu besar untuk seorang pemain.

Untuk rekod, JDT pernah membayar €1.42 juta (RM6.46 juta) untuk mendapatkan Diogo Luis Santo. Laporan Transfermarkt pula mendedahkan JDT membayar €400k (RM1.8 juta) kepada Fortaleza untuk perpindahan Bergson da Silva.

Namun disebabkan kontrak pemain itu bersama Sevilla tidak terikat dengan sebarang klausa, ini juga bermakna JDT boleh mendapatkan pemain tersebut dengan nilai yang lebih rendah daripada nilai sebenar.

Malah sekiranya JDT dan Papu Gomez bijak melakukan rundingan, pemain itu juga boleh didapati secara percuma.

Kongsi artikel ini