KL City Kedah Darul Aman Cipta Sejarah Mara ke Pusingan Seterusnya Kejohanan Piala AFC 2022

Selepas kelab Johor Darul Ta’zim melayakkan diri ke pusingan kalah mati 16 pasukan dalam Liga Juara-juara AFC , giliran Kedah Darul Aman (KDA) dan Kuala Lumpur City (KL City) mara pula ke pusingan kalah mati kejohanan AFC Cup 2022 selepas menewaskan pasukan lawan masing-masing pada malam tadi.

KDA ternyata membuat pelaburan yang berbaloi dengan mengikat penyerang Jordan , Mahmoud Al-Mardi yang menampilkan aksi mengagumkan selepas meledakkan hatrik yang pertama untuk beliau bersama pasukan baharu ketika menewaskan kelab dari Myanmar , Visakha FC 5-1 di stadium Kapten Wayan Dipta , Bali Indonesia.

KDA yang mengungguli carta teratas dalam kumpulan G dengan kelebihan jaringan gol walaupun secara matematik mempunyai enam mata sama dengan Bali FC dan Visakha FC mencipta sejarah tersendiri buat pertama kali mara ke pusingan yang seterusnya di bawah pengendalian jurulatih Aidil Sharin Sahak.

Selain Mahmoud , dua lagi pemain Kedah , Fayadh Zulkifli dan Ronald Ngah turut menampilkan aksi terbaik dalam membenam pasukan lawan tersebut yang hanya mendapat satu jaringan gol saguhati.

Sementara itu , juara Piala Malaysia 2021/2022 , Kuala Lumpur City turut layak ke pusingan separuh akhir zon ASEAN meskipun hanya menjadi naib juara dalam kumpulan H selepas menewaskan Tampinen Rovers dari Singapura 2-1.

Dua gol KL City ini daripada kapten pasukan mereka , Paulo Josue yang menunjukkan aksi cemerlang dalam perlawanan malam tadi.

Ia sudah pasti satu kebanggaan bolasepak Malaysia pada tahun ini kerana tiga kelab bolasepak tempatan bermain mampu mara lebih jauh dan sedikit sebanyak menunjukkan ada peningkatan dari segi kualiti permainan seiring dengan corak permainan moden pada masa ini.

Tahun 2022 ini merupakan tahun yang bertuah untuk bolasepak Malaysia selepas Harimau Malaya layak secara merit ke Piala Asia 2023 pada tahun hadapan.

 

 

Kongsi artikel ini